AM > BERITA

Tanah Merah, Jeli Dikenal Pasti Lokasi Potensi Aktiviti Mendulang Emas

11/11/2025 07:53 PM

KOTA BHARU, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kelantan telah mengenal pasti jajahan Tanah Merah dan Jeli sebagai antara lokasi yang berpotensi untuk aktiviti mendulang emas.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pihaknya telah mengarahkan pegawai berkaitan untuk meneliti aspek syarat pelesenan, keselamatan dan perundangan sebelum sebarang aktiviti perlombongan diluluskan.

"Kita akan pastikan tempat rakyat untuk buat kerja itu (mendulang emas) tidak termasuk dalam kawasan larangan melombong serta kawasan itu tidak membahayakan pendulang. 

"Kita tahu sekarang pun ada rakyat yang tengah buat aktiviti ini, jadi kerajaan negeri ambil tanggungjawab untuk menyelia perkara ini selain memudahkan urusan agar ia dibuat secara sah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Mohamed Fadzli berkata proses mendapatkan lesen bagi tujuan berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa memandangkan pegawai berkaitan sedang merangka draf garis panduan dan syarat pelesenan bagi aktiviti mendulang emas.

Semalam media melaporkan, kerajaan Kelantan membenarkan rakyatnya untuk menjalankan aktiviti perlombongan emas secara mendulang dengan lesen bersyarat yang akan dikeluarkan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan