KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) bernilai RM1.7 bilion yang melibatkan laluan utama sepanjang 6.4 kilometer (km) atau 15 km keseluruhan termasuk tanjakan dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana di sini, dijangka siap dan mula beroperasi pada 2029.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 itu direka bentuk bagi menyuraikan kesesakan di koridor Pantai Dalam-Bangsar-Mahameru.
“Apabila siap kelak iaitu dijangka dalam tempoh 48 bulan, pengguna berupaya menjimatkan hingga 25 minit masa perjalanan dari Bangsar/Mid Valley ke Subang Jaya dengan peningkatan tahap perkhidmatan jalan.
“Selain itu, projek ini dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat di kawasan Pantai Dalam, Bangsar dan Lembah Pantai, serta membuka peluang baharu dalam sektor perumahan, komersial dan perkhidmatan,” katanya.
Nanta berkata demikian dalam ucapan perasmian sewaktu menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek NPE 2 di Plaza Tol Pantai Dalam di sini hari ini.
Nanta berkata kos pembangunan projek NPE 2 dibiayai sepenuhnya oleh New Pantai Expressway Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh IJM Corporation Berhad (IJM), tanpa beban kewangan kepada kerajaan.
“Ini merupakan contoh terbaik kerjasama Awam-Swasta (PPP) dalam pembangunan infrastruktur mampan,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan terkini pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pada sesi sidang media, Nanta berkata setakat ini sebanyak enam syarikat telah menyatakan minat untuk membida bagi projek berkenaan.
“Pelaksanaan sistem itu akan dibuat melalui perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan syarikat penyedia perkhidmatan berkaitan diberi peluang untuk berbincang dan berurusan terus dengan syarikat konsesi lebuh raya bertol sedia ada.
“Dari segi kriterianya, kita mahu sistem yang terbaik dan efisien termasuk melibatkan penggunaan kecerdasan buasatan (AI) dengan yang utamanya menjurus kepada memastikan pengguna dapat menikmati perjalanan lebih selesa dan selamat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial