SEREMBAN, 13 Nov (Bernama) -- Edra Power Holdings Sdn Bhd menanam sebanyak 1,000 anak pokok bakau di bawah fasa kedua inisiatif pemulihan hutan bakau di Stesen Janakuasa Jimah, Port Dickson, semalam.
Pemangku Pengurus Stesen Janakuasa Jimah Muhammad Mazli Ismail Jamail berkata pada program itu tapak semaian bakau yang menempatkan spesies Sonneratia dan Avicennia turut diwujudkan, berfungsi sebagai benteng pertahanan utama pesisir pantai serta menggalakkan pembiakan spesies bakau lain.
Beliau berkata sehingga kini sebanyak 2,000 anak pokok bakau ditanam di kawasan pesisir stesen janakuasa berkenaan, menggambarkan komitmen berterusan Edra terhadap pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari.
“Penanaman pokok bakau dan penyediaan tapak semaian itu mewujudkan asas ekosistem hijau yang mampan bagi memelihara biodiversiti, menyediakan habitat semula jadi serta memastikan bekalan anak pokok yang berterusan untuk masa hadapan.
“Dari semasa ke semasa, usaha itu akan membantu mengurangkan hakisan pesisir pantai dan memberi manfaat sosioekonomi kepada masyarakat setempat melalui ekopelancongan dan pemulihan sumber marin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Mazli berkata pelalaksanaan inisiatif itu dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan serta disertai warga kerja Edra dan komuniti setempat termasuk Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson.
Usaha itu juga kesinambungan kepada program pemulihan hutan bakau Edra dan memperkukuh penyertaan masyarakat dalam pemeliharaan alam sekitar sejajar dengan matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat berkenaan.
Beliau berkata di bawah fasa pertama inisiatif yang dilaksanakan tahun lepas, sebanyak 1,000 anak pokok bakau berjaya ditanam.
Projek itu juga sejajar dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) dan Edra akan terus menerajui inisiatif alam sekitar dengan mengintegrasikan kelestarian dalam operasi serta budaya korporatnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial