EKONOMI > BERITA

BANCI EKONOMI 2026 UKUR KESIAPSIAGAAN TEKNOLOGI DAN DAYA SAING PKS - DOSM

13/11/2025 12:42 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Banci Ekonomi 2026 (BE2026) akan menilai tahap kesiapsiagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari segi penggunaan teknologi, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Ketua Perangkawannya, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bancian untuk tempoh lima tahun itu memberi gambaran menyeluruh mengenai penggunaan teknologi, tahap tenaga kerja mahir dan kemampuan digital PKS selaras dengan keperluan pembangunan ekonomi negara.

“Melalui bancian ini, kita dapat menilai tahap kesiapsiagaan PKS dari segi penggunaan teknologi, termasuk AI dan sama ada mereka mula menggunakan tenaga kerja mahir,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Menurut beliau, hasil bancian itu juga membolehkan kerajaan menilai daya tahan PKS dan hubungan mereka dengan syarikat besar dalam rantaian ekonomi.

“Dalam beberapa industri, syarikat besar memainkan peranan penting dalam membantu PKS dan pada masa yang sama, PKS turut menyokong operasi syarikat besar, menjadikan data ini penting untuk melihat kekuatan dan kebergantungan antara kedua-dua segmen,” katanya.

Mohd Uzir berkata BE2026 melibatkan kira-kira 1.2 juta pertubuhan perniagaan di seluruh negara dan menjadi penanda aras baharu untuk menyemak ketepatan data yang dikumpul melalui tinjauan bulanan dan suku tahunan.

Katanya pelaksanaan banci secara serentak selama lebih 10 bulan di seluruh negara juga membolehkan DOSM meraih data sektor informal yang sukar dijejaki.

“Sektor informal ini senang buka dan senang tutup, terutamanya yang tidak memerlukan modal tetapi kita tahu mereka tetap menyumbang kepada ekonomi. Melalui pelaksanaan secara serentak, kita dapat memastikan maklumat mereka tidak tertinggal,” katanya.

Mengenai penambahbaikan dari segi teknikal, beliau berkata DOSM telah mengeluarkan versi baharu Klasifikasi Piawaian Industri Malaysia (MSIC) yang meningkatkan bilangan pengelasan lima digit sebanyak enam peratus kepada 1,248 kategori.

“Kita telah mengeluarkan pengelasan baharu MSIC dan ini membolehkan pertubuhan perniagaan dikelaskan mengikut industri dengan lebih tepat,” katanya. 

MSIC ialah sistem kod berangka yang dibangunkan oleh DOSM untuk mengelaskan aktiviti ekonomi kepada sektor dan subsektor bagi tujuan pengumpulan, penyusunan dan analisis data perniagaan.

Selain itu, katanya DOSM memperkukuh integrasi data dengan menggabungkan maklumat bancian bersama data pentadbiran, perdagangan dan pekerjaan bagi meningkatkan ketepatan statistik negara.

“Dengan integrasi data, kita boleh menyemak keselarasan antara sumber data dan menghasilkan statistik ekonomi yang lebih tepat,” katanya.

BE2026 akan dilaksanakan oleh DOSM bermula Februari tahun depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan