PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melakar sejarah apabila menjadi organisasi media pertama yang menerima dua anugerah khas ‘President Award’ sempena Majlis Penyampaian Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MSOSH) ke-43, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin menerima anugerah di bawah kategori kepimpinan berdasarkan kepimpinan berwawasan dan komitmen tinggi organisasi dalam memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
Sementara Penolong Editor Rencana Bernama Erda Khursyiah Basir meraih anugerah khas Excellent Journalist atas penghasilan berita dan rencana yang mengangkat tema KKP.
Kedua-dua anugerah itu disampaikan oleh Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia Datuk Wira Ahmad Fakhrul Anuar dan disaksikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat.
Nur-ul Afida berkata pengiktirafan itu mencerminkan sokongan menyeluruh Bernama terhadap aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan warga kerja di semua peringkat.
“Di peringkat Bernama, secara dalaman kita mempunyai sebuah jawatankuasa yang pantau hal-hal berkaitan KKP. Sebagai contoh, sudah dua tahun berturut-turut kita hantar petugas peringkat sokongan kita untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh, untuk kesan penyakit jantung dan sebagainya.
“Kita juga secara berperingkat menaik taraf ruang kerja untuk staf kita. Jadi dalam aspek ini, Bernama pandang berat dan pandang serius hal berkaitan dengan KKP ini kerana ia sebenarnya antara elemen yang perlu ada dalam setiap organisasi,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Erda Khursyiah atas kejayaan beliau dan menitipkan pesanan kepada wartawan Bernama untuk menghasilkan lebih banyak berita berfokuskan KKP.
Sementara itu, Erda Khursyiah berkata KKP antara aspek penting dalam sesebuah organisasi yang tidak boleh diabaikan.
“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, saya bersyukur atas anugerah ini. Terima kasih kepada MSOSH dan Bernama untuk ruang dan peluang ini. Semoga dengan penulisan berkaitan perkara ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada peningkatan kesedaran setiap organisasi khususnya dalam menjaga kebajikan pekerja ke tahap yang lebih baik," katanya yang sering menghasilkan artikel berkaitan aspek KKP.
Terbaharu pada 28 Ogos lepas, beliau menghasilkan sebuah artikel bertajuk ‘Utama KKP Elak Bencana Kerja, PERKESO Sedia Perlindungan Komprehensif’ yang antara lain menyentuh bahawa langkah pencegahan berkesan bermula dengan kesedaran majikan bahawa KKP teras penting dalam sesebuah organisasi.
Ahmad Fakhrul Anuar yang dipetik menerusi artikel itu berkata KKP perlu dilihat sebagai pelaburan strategik dan bukan pembaziran kerana ia membantu memastikan operasi berjalan lancar, mengurangkan gangguan akibat kemalangan dan meningkatkan reputasi syarikat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial