AM > BERITA

Penyatuan Pelbagai Budaya  Di Sarawak Pacu Tadbir Urus Stabil - Abang Johari

15/11/2025 09:32 AM

KUCHING, 15 Nov (Bernama) -- Kekukuhan penyatuan pelbagai budaya di Sarawak menjadi asas kepada tadbir urus stabil serta perancangan pembangunan jangka panjang negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata penyatuan yang menggabungkan kepelbagaian sosial, etnik dan agama itu telah membentuk kekuatan identiti Sarawak sehingga membolehkan negeri berkenaan bergerak maju dengan harmoni tanpa sebarang perbalahan.

“Kita bersatu sebagai rakyat Sarawak untuk mempertahankan Sarawak … umpama ‘cubit paha kanan, paha kiri terasa’,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam persidangan delegasi Sarawak Dayak National Union’s (SDNU) 37th Triennial di sini, pada Jumaat.

Abang Johari berkata kepaduan itu membolehkan Sarawak kekal fokus tatkala dunia berdepan pelbagai cabaran,  termasuk perubahan iklim yang memerlukan pendekatan baharu dan inovasi.

“Kita kini berada di persimpangan apabila Sarawak melalui laluan pembangunan selari dengan apa yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Abang Johari berkata kekayaan alam semula jadi Sarawak, termasuk cahaya matahari, taburan hujan dan hutan yang meluas, menyediakan sumber yang diperlukan untuk negeri itu menyumbang secara bermakna kepada penyelesaian iklim global.

Beliau berkata peralihan Sarawak kepada pembangunan hidrogen merupakan langkah strategik memandangkan bekalan air yang banyak memberikan kelebihan kepada negeri itu dalam pengeluaran tenaga bersih.

“Sebab itu kita terlibat dalam pengeluaran hidrogen daripada air yang kita ada, H2O,” katanya sambil menambah bahawa walaupun menerima reaksi skeptikal pada awalnya, Sarawak kini muncul antara peneraju pembangunan hidrogen di rantau ini serta menerima pengiktirafan antarabangsa.

Abang Johari berkata perpaduan rakyat turut mengukuhkan kedudukan kewangan Sarawak dan membolehkan pembangunan bakat yang diperlukan untuk hala tuju ekonomi baharu negeri itu.

“Dengan perpaduan ini, Sarawak kuat dari segi kewangan, dan apabila anak-anak kita ada ilmu, mereka boleh mengubah cara kita mengurus ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan