KUCHING, 13 Nov (Bernama) -- Penemuan arkeologi di Sungai Jaong, Bongkissam dan Bukit Maras di kawasan Santubong menjadi bukti bahawa tamadun di Sarawak telah berkembang jauh lebih awal.
Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri berkata Gunung Santubong bukan sekadar mercu tanda geografi, sebaliknya menyimpan kisah pusat perdagangan antarabangsa, kemahiran metalurgi tinggi serta jaringan maritim yang luas sejak abad ketujuh Masihi.
“Bayangkan, ketika kawasan lain baru mengenal api, di Santubong sudah ada kapal dagang dari China, Siam dan Vietnam berlabuh untuk berdagang.
“Nenek moyang kita di sini telah pandai membuat besi, tembikar dan berniaga dengan dunia luar,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Warisan Santubong: Eksplorasi Ilmu dan Jejak Tamadun di CENTEXS Santubong, di sini hari ini.
Nancy yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kawasan itu berpotensi untuk diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO kerana nilai sejarah dan arkeologinya yang unik menerusi empat strategi utama, iaitu pendidikan komuniti tempatan, penglibatan generasi muda, kerjasama pelbagai pihak dan pembangunan lestari.
“Apabila warisan dijaga dengan baik, faedahnya luas. Pelancongan warisan membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan, daripada pemandu pelancong, inap desa, produk kraf tangan hinggalah perniagaan komuniti.
“Lebih penting, ia memupuk rasa bangga terhadap identiti dan akar budaya, serta memberikan nilai pendidikan kepada generasi akan datang,” katanya.
Menurut kenyataan Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak, seminar yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Muzium Sarawak itu bukan sahaja menjadi platform untuk berkongsi pengetahuan dan hasil penyelidikan, tetapi juga sebagai strategi untuk pemuliharaan warisan serta mempromosikan tapak warisan Santubong kepada masyarakat umum.
Peserta juga akan dibawa melawat ke Taman Arkeologi Santubong untuk melihat sendiri tapak dan galeri arkeologi Sungai Jaong, Bongkissam–Bukit Maras, Pusat Wallace dan Batu Buaya yang terdapat di taman berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial