AM > BERITA

Jualan Tiket ETS, KTM Intercity 1 Jan Hingga 30 April Dibuka Mulai Isnin

15/11/2025 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Jualan tiket perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Intercity akan dibuka mulai Isnin ini pada 10 pagi bagi perjalanan dari 1 Jan hingga 30 April tahun hadapan.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa langkah itu diambil untuk memberi peluang kepada penumpang merancang lebih awal perjalanan pulang ke kampung atau percutian sempena musim perayaan, cuti umum dan cuti sekolah.

KTMB turut memaklumkan bahawa mulai 1 Jan, perkhidmatan tren ETS dan KTM Intercity kecuali Shuttle Tebrau akan menggunakan jadual waktu baharu.

“Bagi perkhidmatan ETS, sebanyak 34 perkhidmatan harian disediakan manakala dua perkhidmatan tambahan bagi sektor Kluang-KL Sentral-Kluang akan beroperasi pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, menjadikan keseluruhan 36 perkhidmatan sehari.

“Sementara itu, KTM Intercity yang merangkumi Ekspres Rakyat Timuran (ERT) dan Shuttle Timuran (ST) akan menggunakan jadual baharu melibatkan 16 perkhidmatan harian terdiri daripada dua perkhidmatan ERT dan 14 perkhidmatan ST menggunakan tren DMU,” menurut kenyataan itu.

Menurut KTMB, bagi perkhidmatan Ekspres Selatan di sektor JB Sentral-Gemas-JB Sentral pula, jualan tiket ditangguhkan sementara dan tarikh baharu akan dimaklumkan kemudian.

Sehubungan itu, penumpang disaran merancang perjalanan lebih awal dan menyemak jadual terkini melalui aplikasi KTMB Mobile, mengikuti maklumat semasa di saluran rasmi media sosial KTMB, laman sesawang rasmi atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan