KOTA BHARU, 15 Nov (Bernama) -- Persatuan Muaythai Kelantan (PMK) giat menganjurkan pelbagai kejohanan di negeri berkenaan sebagai persiapan atlet menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.
Timbalan Presiden PMK Mohd Ali Akbar Yusoff berkata antara kejohanan yang dianjurkan adalah Kejohanan Muay Thai Sempena Sukan Negeri Kelantan.
“Kejohanan ini memberi pendedahan kepada atlet kami untuk menghadapi perlawanan sebenar pada SUKMA, mereka bakal berdepan petinju dari negeri lain.
“Kami turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan serta persatuan dan kelab Muay Thai tempatan bagi memastikan kejohanan dapat dianjurkan dengan lancar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata kejohanan profesional dan amatur yang dianjurkan adalah komitmen PMK untuk memastikan petinju Kelantan dapat bersaing pada SUKMA dan membawa pulang pingat.
“Kejohanan ini juga menjadi alternatif untuk meningkatkan kemahiran bertarung petinju di atas gelanggang serta membentuk disiplin yang tinggi. Pendedahan melalui kejohanan, sama ada peringkat profesional atau amatur amat penting untuk memastikan prestasi mereka berada pada tahap terbaik,” katanya.
Mohd Ali Akbar berkata pihaknya sedang menyiapkan pusat latihan di beberapa daerah termasuk Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh bagi membolehkan atlet menjalani latihan berterusan.
“Pusat latihan ini akan membolehkan petinju mengasah kemahiran dan stamina secara lebih intensif sebelum beraksi pada SUKMA,” tambahnya.
Beliau berkata sebanyak 26 petinju dipilih daripada kelab-kelab Muay Thai untuk mewakili Kelantan ke SUKMA tahun hadapan.
Mohd Ali Akbar berkata atlet-atlet terpilih kini giat menjalani latihan di kelab masing-masing dan dijangka memberi saingan sengit pada temasya sukan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial