JOHOR BAHRU, 15 Nov (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menasihati graduan khususnya siswazah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) supaya berganding bahu dalam membentuk generasi yang memiliki ilmu dan adab tinggi.
Hal itu, titah Seri Paduka Baginda, agar menjadi teladan serta panduan kepada golongan belia dan kanak-kanak.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Permaisuri Agong bertitah bahawa generasi yang sedang dibentuk sama ada di peringkat tadika, sekolah dan menengah ataupun di universiti bukan sahaja perlu diasuh dengan ilmu dan kemahiran malah disemai dengan adab yang mulia.
"Pendidikan ialah amanah yang amat besar nilainya, ia bukan sekadar satu perjalanan bagi memperoleh sesuatu ijazah, tetapi merupakan proses yang membentuk peribadi, memperkukuh nilai serta memupuk rasa tanggungjawab dalam seseorang individu," titah Seri Paduka Baginda.
Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM bertitah demikian ketika berangkat ke majlis konvokesyen ke-69 universiti itu di sini hari ini.
Turut berangkat Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor yang juga Pro-Canselor UTM.
Raja Permaisuri Agong turut berharap agar beberapa kejadian yang menggemparkan negara sejak kebelakangan ini dijadikan pengajaran dan menyeru semua pihak berganding bahu bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial