KUALA KANGSAR, 16 Nov (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, berkenan menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak bersama-sama lebih 9,000 peserta di Dataran Pavilion di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah, puteri baginda Raja Nazira Safya dan adinda Sultan Nazrin Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, serta isteri Datin Seri Aezer Zubin, barisan exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.
Larian yang bermula pada 6.45 pagi itu diadakan sempena Hari Keputeraan baginda ke-69 yang disambut pada 7 Nov lepas.
Baginda kemudiannya, berkenaan menaiki kenderaan khas bersama Tuanku Zara dan Raja Nazira Safya untuk melawat beberapa check point, termasuk persembahan tarian kebudayaan serta pameran aset dan demonstrasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan melepaskan peserta bagi kategori 15 kilometer (km), 10km dan tujuh kilometer, manakala peserta kategori tetamu kehormat VIP yang membabitkan jarak 3km dilepaskan oleh Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Sebelum berangkat pulang, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menghadiri majlis jamuan santapan dan upacara penyampaian hadiah.
Bagi kategori 15 km, pemenang tempat pertama menerima wang tunai RM800 berserta plak, tempat kedua RM700 dan plak, serta tempat ketiga RM600 dan plak. Bagi kategori 10 km, pemenang tempat pertama menerima RM600 dan plak, tempat kedua RM500 dan plak, manakala tempat ketiga RM400 dan plak.
Larian kali ini, yang memasuki edisi ke-11, melibatkan kawasan kampung sekitar Mukim Sayong, Kota Lama Kanan, Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah serta beberapa lokasi lain.
Sepanjang laluan larian, pelbagai aktiviti dan persembahan disediakan, termasuk permainan tradisional gasing dan sepak raga, demonstrasi labu sayong, persembahan rebana, gendang Cina dan India, serta stesen kuih-muih dan makanan tradisional Perak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial