AM > BERITA

Sultan Nazrin Berkenan Kurnia Darjah Kebesaran, Pingat Kepada 205 Penerima

15/11/2025 01:47 PM

KUALA KANGSAR, 15 Nov (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada 205 penerima bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-69 di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Penerima pada hari ini adalah sebahagian daripada 238 penerima yang dikurniakan darjah kebesaran dan pingat bersempena hari keputeraan baginda yang disambut pada 7 Nov.

Mendahului senarai penerima hari ini ialah Ketua Jabatan Patologi Hospital Teluk Intan Dr Abdul Kadir Rifaei Abd Rashid Khairi yang juga antara 13 penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM).

Penerima PCM yang lain antaranya Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Farah Adura Hamidi serta Timbalan Pengarah Kanan Unit Perancang Ekonomi Negeri Haslinda Alias.

Sultan Nazrin turut mengurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 26 penerima termasuk Timbalan Rektor Universiti Teknologi Mara Prof Madya Dr Mohd Azian Zaidi serta anugerah secara anumerta kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning Allahyarham Ishsam Shahruddin.

Ketua Polis Daerah Selama Supt Sarudin Samah pula antara 14 penerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM). 

Selain itu, sebanyak 39 individu menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), antara penerimanya ialah  bekas atlet boling kebangsaan yang pernah menjadi juara Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas, Syaidatul ‘Afifah Badrul Hamidi. 

Sementara itu, sebanyak 46 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan lapan penerima dikurniakan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).  

Atlet beregu campuran badminton negara Chen Tang Jie  dan Toh Ee Wei dikurniakan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) bersama 55 lagi penerima.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan