AM > BERITA

Aktiviti Rekreasi, Pembalakan Dihentikan Sepanjang MTL - JPSM

16/11/2025 05:17 PM

KEPALA BATAS, 16 Nov (Bernama) -- Semua aktiviti rekreasi, pembalakan dan perladangan di kawasan hutan dihentikan sementara sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) bagi mengelak sebarang risiko kemalangan atau bencana alam.

Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Datuk Zahari Ibrahim berkata pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) bagi memantau keadaan cuaca,

"JPSM juga menjalankan pemantauan rapi di lokasi berisiko tinggi berlaku gelongsoran tanah dan kepala air yang akan memberi kesan kepada penduduk di kawasan berhampiran hutan atau air terjun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI JPSM di Kampung Permatang Bogak, di sini hari ini.

MTL 2025/2026 bermula Khamis lepas dan berterusan hingga Mac tahun depan serta dalam tempoh itu, lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku.

Zahari berkata JPSM juga membuat pemantauan rapi menerusi Sistem Amaran Awal (EWS) yang berfungsi secara automatik untuk mengesan fenomena kepala air dalam tempoh awal supaya dapat memberi amaran kepada orang ramai.

Beliau berkata sensor pada stesen kawasan yang diletakkan di hulu dan hilir sungai itu akan mengesan perubahan paras air sungai serta mengukur kadar taburan hujan semasa.

"Menerusi belanjawan baru-baru ini, kita dapat RM3 juta untuk memasang lebih banyak EWS di seluruh negara supaya tindakan awal dapat diambil jika berlaku kepala air, ini bukan sahaja bagi menjaga keselamatan pengunjung tetapi juga komuniti yang tinggal di kawasan berkenaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata JPSM masih menunggu laporan lengkap berhubung dakwaan terdapat kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Gunung Bongsu di Kedah sehingga menyebabkan berlaku banjir kilat di lapan kampung di Ulu Paip, di kaki bukit tersebut baru-baru ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan