AM > BERITA

JPSM Laksana Projek Kampung Angkat MADANI Di Permatang Bogak Bernilai RM1.022 Juta

16/11/2025 05:21 PM

KEPALA BATAS, 16 Nov (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM1.022 juta kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan komuniti di Kampung Permatang Bogak, di sini menerusi Kampung Angkat MADANI.

Ketua Pengarah JPSM Datuk Zahari Ibrahim berkata program itu merupakan inisiatif bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar melalui pembangunan infrastruktur, sosioekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat sekali gus merapatkan jurang antara desa dan bandar.

"JPSM menerima peruntukan RM950,000 disusuli tambahan RM72,000 di bawah komponen Latihan Sambil Bekerja Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memberi manfaat kepada lebih 900 penduduk di tiga kampung, iaitu Permatang Bogak, Permatang Pak Elong dan Permatang Tok Loba.

"Peruntukan ini digunakan untuk pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur, pembangunan sosial, program pembudayaan penghijauan dan perolehan peralatan serta baik pulih kemudahan," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI JPSM di sini hari ini.

Beliau berkata 22 kerja menaik taraf kemudahan dan perolehan barangan telah dilaksanakan termasuk membaik pulih kantin Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Surau Kechik Husain di Permatang Pak Elong, membina mercu tanda Kampung Angkat MADANI, membina dewan terbuka baharu dan memasang panel solar di Masjid Tan Sri Abdul Aziz Mohd Zain.

Zahari berkata pihaknya turut melaksanakan lima projek pembangunan sosial dengan menyediakan katil hospital dan kerusi roda kepada penduduk uzur, bantuan bakul makanan untuk golongan asnaf dan ibu tunggal, sumbangan persekolahan, sumbangan penduduk yang uzur dan tidak mempunyai pendapatan tetap serta membekalkan peralatan bengkel motosikal untuk golongan muda.

Beliau berkata JPSM juga bekerjasama dengan Institut Kemahiran MARA Seberang Perai Utara (IKM SPU) bagi memasang sistem tenaga solar hibrid di Masjid Tan Sri Abdul Aziz Mohd Zain yang menjadikan ia masjid pertama di Pulau Pinang menggunakan sistem itu, lengkap dengan paparan pemantauan masa nyata.

"Langkah itu bukan sahaja mengurangkan penggunaan tenaga elektrik, malah memperkenalkan tenaga bersih kepada masyarakat desa dan lampu solar turut dipasang di laluan utama dan simpang kampung," katanya.

Bagi Sekolah Angkat MADANI pula, beliau berkata Sekolah Kebangsaan Permatang Sintok menerima peruntukan RM100,000 yang dimanfaatkan bagi dua komponen utama iaitu bantuan infrastruktur dan kemudahan sekolah serta pembangunan kemahiran pelajar.

Zahari berkata antara projek yang telah dijalankan termasuk menaik taraf dataran perhimpunan, surau dan siling prasekolah, pemasangan kipas dan penyaman udara serta pembekalan peralatan sukan dan jersi pasukan bola sepak Tunas Sintok.

"Sebanyak 372 murid dan 37 guru menikmati kemudahan yang lebih selesa dan kondusif menerusi Sekolah Angkat MADANI itu," katanya dan memaklumkan semua projek bagi Kampung Angkat MADANI serta Sekolah Angkat MADANI dilaksanakan sejak Mei lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan