CHUKAI 16 Nov (Bernama) -- Lima puluh murid dan guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Raudhatul Athfal di sini berdepan detik cemas apabila premis mereka terbakar pagi tadi.
Seorang guru Nur Amyrah Salihah Mohd Yusoff berkata ketika kejadian pada kira-kira 10 pagi itu, 46 murid berusia empat hingga enam tahun sedang bersarapan pagi selepas selesai sesi mengaji dan solat.
Beliau berkata kebakaran di premis satu tingkat itu disedari orang awam yang melalui premis tersebut sebelum memberitahu mereka bahawa ruang atas bangunan yang menempatkan empat kelas dipenuhi asap tebal.
"Saya dan tiga lagi guru terus bergegas membawa murid keluar dari bangunan, kemudian kami lihat api menjulang tinggi dan menyambar seluruh ruangan bahagian atas sebelum merebak ke bahagian lain," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Nur Amyrah Salihah berkata semua buku dan perabot hangus dalam kebakaran tersebut manakala murid telah diberikan cuti untuk sementara.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kemaman, Penolong Penguasa Bomba Saariah Hassan berkata kebakaran melibatkan bangunan satu tingkat separa kekal yang terbakar kira-kira 70 peratus.
Beliau berkata sepasukan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman dan BBP Chukai bergegas ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima pada 10.09 pagi.
"Ketika bomba tiba semua penghuni dalam premis itu telah berjaya keluar dengan selamat dan api sedang marak," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata pasukan bomba mengambil masa 15 minit untuk mengawal api daripada merebak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial