AM > BERITA

Semporna 'Syurga' Pelancong, Rancakkan Ekonomi Tempatan

16/11/2025 10:42 PM

Oleh Noorazlina Jindeh

SEMPORNA, 16 Nov (Bernama) -- Pekan Semporna yang terletak kira-kira 540 kilometer dari Kota Kinabalu semakin meriah dengan kedatangan hampir 2,000 pelancong setiap hari, yang menjadikan gugusan pulau di sekitar daerah itu ibarat ‘syurga’ buat pencinta pantai, aktiviti menyelam atau sekadar berbulan madu. 

Aliran kedatangan pelancong itu bukan sekadar menceriakan senyuman penduduk tempatan, malah turut menyuntik semangat baharu dalam industri pelancongan setempat, sekali gus merancakkan ekonomi komuniti tempatan.

Pegawai Daerah Semporna Mas Syazwan Masood berkata jumlah pelancong biasanya meningkat antara Julai hingga Oktober, menobatkan Semporna sebagai antara destinasi paling diminati di Sabah selepas Kota Kinabalu.

“Kalau dilihat rata-rata pelancong yang datang ke Semporna ini adalah pelancong dari China dan Semporna adalah daerah kedua tertinggi menerima kedatangan pelancong selepas Kota Kinabalu,” katanya kepada Bernama.

Mas Syazwan berkata terdapat sedikit penurunan ketibaan pelancong dari China pada Oktober, namun ia diisi oleh pelancong dari negara lain.

Selain itu, beliau memberi jaminan keselamatan di Semporna pada ketika ini berada pada tahap yang sangat baik dan pelancong selamat untuk bebas bergerak di Pekan Semporna atau di mana-mana pulau di daerah itu.

Antara pulau yang terkenal di Semporna adalah Pulau Sipadan, Pulau Mabul, Pulau Kapalai, Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mataking. 

Beliau berkata Semporna yang terletak di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) 11 tahun lepas, sentiasa memastikan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) sentiasa kekal aman dan selamat.

Mas Syazwan berkata limpahan daripada kedatangan pelancong itu menjadikan kawasan pesisir laut mahupun di Pekan Semporna semakin padat apabila antara 60 hingga 70 peratus daripada 170,000 penduduk tinggal di kawasan pekan.

“Kami sedang mengkaji semula perancangan penempatan agar Pekan Semporna dapat dibangunkan dengan lebih teratur, sambil memastikan kemudahan awam dan kebajikan penduduk terjaga,” kata Mas Syazwan.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan kerja-kerja kawalan pembangunan, pengurusan alam sekitar, menyediakan perkhidmatan dan kemudahan awam serta menjaga kebajikan sosial dan ekonomi penduduk di kawasan terlibat.

“Kami akan cuba buat penempatan yang lebih sistematik dengan pengurusan bandar dan kampung yang lebih terancang kerana penumpuan untuk sektor ekonomi lebih tertumpu di kawasan pekan,” katanya keluasan Semporna dianggarkan kira-kira lebih 1,900 kilometer persegi. 

Pada 6 Julai lepas, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata sektor pelancongan menjana pendapatan sebanyak RM3.3 bilion selepas menerima sekitar 1.44 juta pelancong dari Januari hingga Mei tahun ini.

Beliau berkata jumlah itu berkait rapat dengan tahap keselamatan yang tinggi di negeri itu, hasil kerjasama dan kawalan rapi oleh ESSCom kerana Sabah tidak mencatat sebarang insiden penculikan untuk wang tebusan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Semporna mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sulabayan, Senallang dan Bugaya yang akan terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah dan 25 Nov bagi pengundian awal.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17,  sila layari  https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan