SUNGAI PETANI, 16 Nov (Bernama) -- Jabatan Standard Malaysia (JSM) menterjemahkan aspirasi Ekonomi MADANI secara langsung di peringkat akar umbi menerusi program Kampung Angkat MADANI di Kampung Sungai Pial, Merbok, dekat sini hari ini.
JSM memaklumkan Kampung Sungai Pial dipilih sebagai kampung angkat jabatan itu berdasarkan sejarah, keunikan komuniti dan kesediaan penduduk untuk sama-sama menjayakan inisiatif pembangunan masyarakat.
“Tujuh projek fizikal dan tiga program kemasyarakatan telah dilaksanakan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 juta.
“Antara projek utama menaik taraf yang telah direalisasikan bagi memberi manfaat terus kepada penduduk termasuk membaik pulih masjid, dewan orang ramai, tabika, sekolah, jalan-jalan ladang dan kampung serta kawasan kolam ikan air tawar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, Ketua Pengarah JSM See Chee Kong berkata program tersebut mengambil pendekatan turun padang dengan mengenal pasti dan melaksanakan projek naik taraf infrastruktur kritikal yang menjadi nadi kehidupan komuniti.
“Ini adalah "pembuka jalan" untuk membina kepercayaan dan memastikan komuniti berada dalam keadaan sejahtera dan kondusif untuk menerima bimbingan teknikal,” katanya.
Selain itu, Sekolah Kebangsaan Singkir turut menerima manfaat melalui Projek Sekolah Angkat MADANI bernilai RM100,000 yang melibatkan projek menaik taraf prasarana sekolah di bawah Program Sekolah Angkat MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial