AM > BERITA

Tragedi Greg Masih Terpahat, Penduduk Kampung Limbawan Mahu Sungai Pampang Dipulihkan

17/11/2025 09:24 AM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

KENINGAU, 17 Nov (Bernama) -- Keindahan Bukit Kimanis yang menjadi latar belakang semula jadi Kampung Limbawan, terletak kira-kira dua kilometer dari pekan Keningau sering memukau pandangan dengan panorama yang menenangkan jiwa.

Namun, apabila bukit itu diselubungi awan gelap, ia membangkitkan memori pilu dalam kalangan penduduk mengenai amaran alam yang pernah mengorbankan ratusan nyawa ketika Ribut Tropika Greg melanda pada 26 Dis 1996.

Hampir tiga dekad berlalu, tragedi yang meragut lebih 200 nyawa dan mengakibatkan lebih 100 orang hilang itu masih segar dalam ingatan penduduk, terutama mereka yang mendiami kawasan berhampiran Sungai Pampang yang juga antara laluan utama limpahan banjir ketika bencana itu.

Bagi penduduk Limbawan yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan, kampung itu bukan sekadar tempat tinggal tetapi ruang kehidupan yang perlu dilindungi sepenuhnya agar tragedi 1996 tidak berulang, sekali gus memastikan generasi baharu dapat membesar tanpa dibayangi trauma silam.

Berkongsi cerita kepada Bernama, Fledius Yuk Jim, 40, berkata tragedi berkenaan adalah pengalaman yang tidak mampu dipadamkan daripada ingatan, meskipun ketika itu beliau baru berusia 11 tahun.

Beliau masih terbayang situasi cemas melihat beberapa mayat tanpa baju terdampar di merata-rata tempat ketika beliau dan keluarganya berusaha menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi.

“Saya dan seluruh keluarga terselamat daripada menjadi mangsa bencana itu, cuma rumah memang terjejas dan berbahaya untuk didiami selepas banjir lumpur itu. Masa itu, seingat saya memang banyaklah kayu balak, zink dan papan berselerak di kawasan perkampungan ini sampai ada yang lebih tinggi daripada Dewan Kampung Limbawan ini,” katanya.

Justeru, Fledius berharap agar projek tebatan banjir yang lebih menyeluruh, disertai sistem amaran awal yang berkesan dapat dilaksanakan di Kampung Limbawan bagi memastikan penduduk mempunyai masa mencukupi untuk menyelamatkan diri sekiranya hujan berterusan atau kenaikan paras air luar jangka.

“Kami masih ingat apa yang berlaku dulu. Ramai antara kami traumanya belum hilang,” katanya yang menetap di kampung itu sejak lahir.

Senada dengannya, Dan Joseph, 37, berkata kerja pembersihan Sungai Pampang termasuk mendalamkan beberapa bahagian dan mengurangkan mendapan lumpur serta sisa yang menghalang aliran air penting bagi memastikan tahap keselamatan lebih terjamin.

Beliau tidak mahu tragedi yang meragut begitu banyak nyawa berulang di kampung tempatnya membesar kerana ia antara detik paling mencemaskan dalam kehidupan keluarganya.

“Saya masih kecil, berusia lapan tahun. Saya tiada di sini tetapi ibu bapa berada di kampung ini ketika kejadian. Bila bapa saudara beritahu ada banjir lumpur teruk berlaku, memang takut dan bimbang kehilangan ibu bapa saya.

“… tetapi syukur, mereka terselamat daripada bencana itu dan saya bertemu ibu bapa ketika mereka mendapatkan perlindungan di Dewan Masyarakat Keningau,” katanya.

Dan berkata penduduk kini berharap projek pembinaan jambatan dan jalan baharu yang menghubungkan Kampung Limbawan ke laluan utama pekan Keningau, kira-kira satu kilometer jaraknya dapat disiapkan mengikut jadual iaitu selewat-lewatnya pada 2029.

“Kalau jambatan dan jalan ini siap, ia banyak memudahkan pergerakan penduduk kampung ini terutama ketika berlaku kecemasan,” tambahnya.

DUN Liawan adalah satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Keningau yang terlibat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dan menyaksikan saingan 10 penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 29 Nov, manakala pengundian awal pada 25 Nov.

Untuk berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 

N41: LIAWAN: SABAH: 32,661

 

1. Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi    (BN-UMNO)

2. Yukilin Giging                                       (Rumpun)

3. Peter Paun                                           (KDM)

4. Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub    (GRS-Gagasan Rakyat)

5. Wilson Gan Poi Tzen                            (UPKO)

6. Johny @ John Anthony                        (PN-Bersatu)

7. Adzhar Jasni @ Eddy                           (Warisan)

8. Mustazarmie Mustapha                        (PPRS)

9. Augustine A Nain                                  (STAR)

10. Junadey Ejih @ Egih                          (PIS)

 

 (2020: Anwar Ayuub @ Annuar Ayub: PN-STAR: Maj: 641)

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan