AM > BERITA

Gaji Rendah Pengamal Media: Pendika Sedia Bekerjasama Dengan Pihak Berkaitan Rangka Cadangan 

17/11/2025 11:36 AM

MELAKA, 17 Nov (Bernama) -- Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) sedia bekerjasama dengan kerajaan, pihak industri dan organisasi media bagi merangka cadangan lebih komprehensif untuk memastikan kebajikan pengamal media terus diperkasa termasuk menangani isu gaji rendah yang diterima mereka.

Presiden Pendika Amir Mamat berkata situasi itu bukan sahaja membabitkan pengamal media berstatus tetap malah turut dialami wartawan sambilan, atau stringer, yang memperoleh pendapatan di bawah RM2,000 walaupun telah berkhidmat melebihi satu dekad.

"Pendika turut memandang serius isu ketidaktentuan pendapatan dalam kalangan stringer yang sering menjadi barisan hadapan dalam tugasan di lapangan namun tidak menerima imbuhan setimpal dengan risiko dan komitmen kerja.

"Pendika percaya keadaan ini perlu diberi perhatian segera melalui mekanisme penambahbaikan gaji yang lebih adil, selaras dengan pengalaman serta sumbangan besar mereka kepada masyarakat dan negara," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain itu, aspek perlindungan sosial, peluang peningkatan kerjaya dan latihan profesional juga perlu dirangka semula bagi memastikan pengamal media dapat terus berkembang dalam industri yang semakin mencabar.

"Realiti bahawa masih ada pengamal media berada di bawah garis kemiskinan membuktikan wujudnya jurang besar antara beban tugas yang dipikul dengan imbuhan yang diterima, sedangkan mereka terus berkhidmat demi kelangsungan hidup dan tanggungjawab kepada masyarakat.

"Pendika berpandangan peranan pengamal media amat kritikal dalam memastikan rakyat menerima maklumat tepat, pantas dan sahih, justeru kebajikan mereka tidak wajar dipandang ringan," katanya.

Amir turut menyambut baik keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan kegusaran terhadap nasib pengamal media yang masih menerima gaji rendah meskipun telah berkhidmat lebih 10 tahun dalam industri berkenaan.

"Kenyataan itu menunjukkan bahawa isu kebajikan pengamal media kini mendapat perhatian tertinggi kepimpinan negara sekali gus memberi harapan kepada mereka yang telah sekian lama bergelut dengan pendapatan rendah.

"Pendika komited memperjuangkan suara dan hak pengamal media khususnya di Melaka, serta berharap perhatian yang diberikan oleh Perdana Menteri ini menjadi titik permulaan kepada perubahan positif yang lebih menyeluruh dalam ekosistem media Malaysia," katanya.

Semalam, Perdana Menteri berkata beliau memahami keluhan pengamal media yang masih menerima gaji rendah terutama di Sabah meskipun ramai dalam kalangan mereka telah berkhidmat lebih sedekad.

Justeru, beliau meminta Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyediakan laporan menyeluruh mengenai keadaan gaji wartawan, khususnya di Sabah, dan mencadangkan langkah penyelesaian terbaik termasuk kemungkinan menyalurkan insentif kepada syarikat media bagi tujuan menaikkan gaji atau elaun wartawan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan