AM > BERITA

Selangor Semak Semula Pakej Pengurusan Mayat Bukan Islam 

17/11/2025 02:08 PM

SHAH ALAM, 17 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan meneliti dan menyemak semula pakej pengurusan mayat orang bukan Islam bagi memastikan kadar caj dikenakan adalah munasabah dan mampu ditanggung waris keluarga.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMA) berkata perkara itu akan dibincangkan secara menyeluruh bersama pihak berkepentingan.

“Kemudahan krematorium awam dilaksana bagi memastikan akses menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40) mampu menggunakan perkhidmatan pembakaran mayat pada kadar berpatutan.

“Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan bekerjasama dengan pihak swasta bagi menawarkan harga lebih rendah untuk penduduk yang memerlukan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan R. George Gunarajah (PH-Sentosa) yang ingin tahu  status terkini pembangunan atau penambahbaikan krematorium di Selangor serta aksesnya untuk semua golongan termasuk B40.  

Dalam pada itu, Ng berkata kerajaan negeri telah mengarahkan semua PBT mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembinaan krematorium baharu bagi memenuhi keperluan penduduk.

“Bagaimanapun terdapat beberapa kekangan termasuk jarak yang tidak sesuai antara kawasan kediaman dan komersial. Jadi, sekarang kami masih dalam proses mengenal pasti lokasi sesuai.

“Setakat Oktober lepas, Selangor memiliki lapan krematorium awam iaitu masing-masing satu di Shah Alam, Klang, Petaling Jaya, Sepang dan dua di Subang Jaya, manakala dua lagi dalam proses pembinaan iaitu di Kuala Langat dan Hulu Selangor,” katanya.

Selain itu, Ng berkata pelaksanaan program Khairat Darul Ehsan (KDE) antara inisiatif kerajaan negeri bagi meringankan urusan pengebumian, dengan menyediakan bantuan tunai RM1,000 kepada rakyat berusia 50 tahun ke atas serta golongan kelainan upaya (OKU).  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan