EKONOMI > BERITA

AIRASIA X TINJAU POTENSI LALUAN BAHARU EROPAH TAHUN DEPAN

17/11/2025 11:41 PM

Daripada Fatin Umairah Abdul Hamid

ISTANBUL (TÜRKIYE), 17 Nov (Bernama) -- AirAsia X (AAX) sedang merancang untuk meneroka beberapa destinasi tambahan di Eropah yang disasarkan untuk dilancarkan tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Benyamin Ismail.

Beliau berkata AAX kini bekerjasama dengan sebuah syarikat penerbangan rakan strategik dan pengumuman kerjasama itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Menurutnya, fokus AAX bukan sahaja terhad kepada laluan Asia Tenggara - Turkiye, tetapi turut melibatkan ketersambungan dari Asia Tengah dan negara Teluk ke Turkiye.

“Kami mengendalikan dua laluan di Asia Tengah iaitu Almaty, Kazakhstan, dan Tashkent, Uzbekistan. Ketersambungan adalah keutamaan kami. Kami juga merancang untuk menubuhkan hab di Asia Tengah dan di wilayah Teluk.

“Selepas Turkiye, kami akan terbang ke Bahrain dan mungkin turut menubuhkan hab di sana untuk menyambungkan penerbangan ke Turkiye,” katanya kepada media tempatan pada sidang media bersempena penerbangan pertama AAX ke Istanbul hari ini.

Penerbangan pertama ke Istanbul pada 14 Nov, 2025 itu mengukuhkan komitmen AAX untuk meluaskan operasinya selain Asia, dengan syarikat penerbangan itu menawarkan empat penerbangan mingguan ke bandar tersebut serta lebih 150,000 tempat duduk setahun pada tambang yang kompetitif.

Bagaimanapun, beliau berkata AAX akan mengutamakan ketersambungan melalui Asia Tengah terlebih dahulu, sambil turut menimbangkan penyambungan terus laluan antara bandar-bandar di Eropah dan Asia melalui Istanbul.

“Langkah pertama kami di Eropah bermula dengan Istanbul. Potensi lain termasuk penerbangan satu hentian melalui Timur Tengah, Kazakhstan atau Turkiye,” katanya sambil menekankan kepentingan Turkiye sebagai pasaran utama dan negara keempat paling banyak dikunjungi di dunia.

Katanya, Turkiye adalah pasaran yang besar dan pihaknya sedang menilai sama ada untuk membina hab di sini atau bekerjasama dengan syarikat penerbangan lain bagi memastikan kos operasi lebih efisien.

Kami juga sedang meneroka peluang untuk laluan dari Turkiye ke London, Edinburgh atau Paris, katanya.

Mengenai rancangan pengembangan bilangan pesawatnya, beliau berkata AAX merancang memperoleh pesawat bersaiz lebih kecil dan menjangkakan untuk menerima empat pesawat A321 Long Range (A321LR) pada separuh kedua 2026.

Sebaik diterima daripada Airbus, pesawat berkenaan memerlukan beberapa bulan persediaan sebelum memulakan operasi, kata beliau.

“Kami menjangkakan ia beroperasi menjelang suku ketiga tahun depan,” katanya, sambil menambah bahawa pesawat LR akan membolehkan syarikat itu beroperasi ke bandar sekunder, sekali gus menyokong pertumbuhan operasi ke Eropah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan