AM > BERITA

Tabung Ditutup, Misi Bawa Pulang Jemaah Haji Dirawat Di Makkah Dimulakan

17/11/2025 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Misi membawa pulang jemaah haji Malaysia Asmah Mansor, 71, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Saudi German Hospital, di Makkah akibat pneumonia kini dimulakan setelah jumlah sumbangan diterima bagi membiayai kos misi itu mencukupi. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata setakat 11 pagi, Tabung Musa’adah JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia yang dilancarkan telah berjaya mengumpul sumbangan RM372,222.66 dan ditutup serta merta daripada menerima kutipan. 

Beliau berkata baki selebihnya bagi menampung kos tersebut akan disumbangkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). 

“Saya telah mengarahkan TH menguruskan segala proses berkaitan bagi membawa pulang Hajah Asmah secepat mungkin, mengikut prosedur serta bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta Kedutaan Malaysia di Arab Saudi,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau. 

Mohd Na’im juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, badan korporat, pertubuhan, serta dermawan yang tampil menyumbang dalam tempoh yang singkat.

Beliau berkata kesatuan serta sifat ihsan rakyat Malaysia telah menterjemahkan semangat perpaduan Malaysia MADANI.

“Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan para penyumbang dengan ganjaran yang berlipat ganda dan asbab memudahkan usaha membawa pulang jemaah haji tahun 1446H terakhir itu yang masih berada di Hospital di Mekah,” katanya. 

Semalam, Mohd Na’im berkata kira-kira RM500,000 diperlukan bagi membawa pulang jemaah haji itu yang disahkan menghidap pneumonia dan sedang menerima rawatan di Saudi German Hospital sejak 13 Sept lepas.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan