AM > BERITA

LRT3 Dijangka Mula Beroperasi 31 Dis - Loke

17/11/2025 07:16 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam, Selangor dan kawasan sekitarnya dijangka mula beroperasi pada 31 Dis ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata projek itu kini dalam fasa akhir ujian dan pentauliahan untuk menjamin keandalan dan keselamatan pengangkutan berkenaan.

“Kementerian bersama Prasarana Malaysia Berhad dan pihak berkuasa berkaitan sedang memberikan keutamaan penuh kepada aspek keselamatan, kebolehpercayaan operasi dan pematuhan teknikal, sebelum tarikh pembukaan dapat disahkan secara muktamad.

“Hal ini (tarikh pembukaan) sangat tertakluk kepada hasil ujian kita kerana dalam perkhidmatan rel, satu daripada perkara yang sangat penting adalah ujian terakhir yang dilaksanakan termasuk fault-free run (FFR) untuk memastikan apabila dibuka nanti, tidak berlaku apa-apa gangguan teknikal dan sebagainya,” katanya.

Loke berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata sebagai persediaan pengoperasian LRT3, Rapid Rail Sdn Bhd sehingga kini telah melantik 956 pekerja merangkumi pelbagai kategori petugas termasuk pasukan operasi, teknikal, kejuruteraan dan sokongan.

Sementara itu, mengenai kejadian kebocoran pada bumbung di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan hujan lebat pada Jumaat lepas, Loke berkata pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah diminta untuk mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor terlibat.

“Kontraktor yang sedang melakukan kerja-kerja di kawasan bocor itu perlu dipertanggungjawabkan  terutama sekiranya tidak mengikuti prosedur operasi standard. Ia sangat mendukacitakan, sangat memalukan, memberikan imej negatif kepada negara dan ia sangat sukar untuk dimaafkan,” katanya.

Loke pada masa sama turut mengulangi pendirian tegas beliau dan Kementerian Pengangkutan untuk tidak berkompromi dalam isu pematuhan undang-undang berkaitan kenderaan lebih muatan.

“Hanya dengan ketegasan dan tekad politik yang kuat, baru kita boleh memerangi isu ini yang sudah diwarisi puluhan tahun,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM 6,767,918,800 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026, dengan lebih suara bersetuju.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan