KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Rukun Tetangga (Pindaan) 2025 dan RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) (No.2) 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu masing-masing dibentangkan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran, dengan bacaan kali kedua bagi kedua-dua RUU itu dijadualkan dibuat pada mesyuarat kali ini.
Pindaan terhadap Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751) antaranya bagi meminda Seksyen 2 dengan memasukkan takrif baharu ‘orang yang mempunyai kepentingan’ di dalam sesuatu Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
RUU itu juga bertujuan meminda perenggan 7(3)(d) dengan memotong istilah ‘pemastautin tetap’ untuk menjelaskan hanya warganegara layak dilantik sebagai anggota Jawatankuasa KRT.
Selain itu, pindaan subseksyen 17(1) Akta 751 pula bagi memperuntukkan hanya pemastautin dan orang yang mempunyai kepentingan di dalam KRT, yang juga warganegara boleh membuat permohonan untuk menjadi anggota Skim Rondaan Sukarela.
Sementara itu, pindaan terhadap Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166) antara lain melibatkan Seksyen 4 untuk menjelaskan status Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang sebagai suatu pertubuhan perbadanan yang mempunyai keupayaan dari segi undang-undang.
Selain itu, seksyen baharu 7A dicadangkan dengan memberi menteri kuasa untuk membatalkan pelantikan anggota Lembaga tertentu yang dilantik oleh menteri dan membenarkan seseorang anggota Lembaga yang dilantik oleh menteri untuk meletakkan jawatan.
Pindaan turut melibatkan cadangan seksyen baharu 7C yang memperuntukkan anggota Lembaga hendaklah dibayar elaun dan faedah lain sebagaimana yang ditentukan Lembaga itu dan diluluskan menteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial