KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Empat rang undang-undang (RUU) berkaitan reformasi institusi iaitu Ombudsman, kebebasan maklumat (FOI), pendanaan politik serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini sedang dalam proses libat urus dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu, pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga akan dibentangkan, termasuk merangkumi perlindungan dan insentif kepada pemberi maklumat.
“Menteri berkenaan telah membentangkan keputusan dasar untuk diluluskan Jemaah Menteri, iaitu Ombudsman, FOI, pendanaan politik dan pengagihan kuasa Peguam Negara serta Pendakwa Raya.
“Keempat-empat RUU ini sedang melalui proses libat urus, antaranya dengan Parlimen, Majlis Peguam dan pihak-pihak berkepentingan lain, sebelum dimuktamadkan. Ada yang dijangka dibentangkan awal tahun, manakala sebahagiannya pertengahan tahun,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai perkembangan terkini reformasi institusi perundangan melalui penggubalan RUU tersebut dalam usaha meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Sementara itu, Perdana Menteri berkata pemantauan terhadap pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 dijalankan secara berkala, dengan beberapa cadangan langkah diberi perhatian.
Anwar berkata cadangan itu termasuk pemberian insentif cukai kepada badan-badan yang menyertai program antirasuah secara berkesan dan agresif, selain penetapan kadar elaun kepada saksi yang bersedia memberi kerjasama.
“Setakat ini, terdapat kejayaan yang bermakna. Contohnya, pencapaian badan-badan penguatkuasaan dari segi kerangka besar antirasuah, ketirisan, penyeludupan dan kartel, kita berjaya mengumpul RM15.5 bilion untuk kantung negara,” katanya.
Beliau menjawab soalan asal Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai status terkini pelaksanaan NACS melalui pengukuhan lima strategi teras, seiring usaha kerajaan meningkatkan tatakelola dan memerangi rasuah secara tegas dan adil tanpa pilih kasih.
Anwar berkata sejak pelancaran NACS pada 7 Mei 2024, sebanyak 23 substrategi berjaya dilaksanakan oleh 12 kementerian dan agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan lima substrategi diselesaikan pada 2024 dan 18 lagi sehingga November ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial