POLITIK > BERITA

GRS BERI KOMITMEN PERTINGKAT HASIL SABAH, PULANGAN DANA PENDIDIKAN UNTUK RAKYAT

18/11/2025 11:57 PM

TAWAU, 18 Nov (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berikrar untuk memberikan komitmen penuh, memperkukuh kesatuan dan menumpukan perhatian kepada pelaksanaan tugas bagi memastikan hasil negeri meningkat sekiranya diberikan mandat pada  Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata komitmen itu bertujuan supaya lebih banyak manfaat dapat dikembalikan kepada rakyat termasuk melalui dana pendidikan yang diperkukuh antaranya peningkatan kepada biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.

"Pada tahun 2019, semasa Parti Warisan Sabah memerintah dana pendidikan hanya RM50 juta dan kami (Kerajaan GRS) berjaya meningkatkannya pada tahun ini kepada RM136 juta, peningkatan peruntukan yang lebih 100 peratus.

"Namun, peruntukan ini masih tidak mencukupi, masih ramai lagi anak-anak kita yang memerlukan tetapi inilah yang cuba diusahakan, sasaran kita menjelang tahun 2030 paling kurang pendapatan Sabah akan mencecah kadar RM10 bilion," katanya.

Armizan, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera GRS Tanjung Batu di sini malam ini.

Beliau juga berkata hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah hendaklah sentiasa dipelihara dengan baik selain menolak sentimen anti-Semenanjung yang dimainkan oleh sesetengah pihak kerana ia merugikan rakyat.

"Ingat, Persekutuan itu juga adalah sebahagian daripada kita, Kerajaan Persekutuan itu juga adalah milik kita, Malaysia itu juga milik kita, yang penting sebagaimana dalam manifesto GRS, kita mahu mewujudkan GRS ini sebagai satu wadah, platform gabungan kepada parti-parti tempatan," katanya.

Menjelang PRN Sabah ke-17, Armizan meminta pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu agar memilih calon GRS iaitu Dr Andi Mohd Shamsureezal Mohd Sainal, yang merupakan anak muda dan doktor perubatan serta pengarah hospital.

"Hal ini mengambarkan citra keterbukaan yang jujur di pihak GRS untuk membawa semua segmen masyarakat bukan hanya menyertai sebagai ahli tetapi diberikan peranan yang bersesuaian dengan kepakaran, mereka diberikan tempat untuk berada di barisan hadapan sebagai calon dan seterusnya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah kelak," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian manakala undi awal pada 25 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

 

N71: TANJUNG BATU: SABAH: 27,428

 

1. Ayuf Abdul Rahman       (Warisan)

2. Ahmad Dullah                 (PN-PAS)

3. Samasuddin Yusop        (BN-UMNO)

4. Zanudin Mingo                (PIS)

5. Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal (GRS-Gagasan Rakyat)

 

(2020: Andi Muhammad Suryady Bandy: BN-UMNO: Maj: 2,123)

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan