KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) – Aplikasi MyGOV Malaysia, yang menggunakan MyDigital ID sebagai identiti pengesahan digital, dibangunkan mengikut piawaian keselamatan bertaraf antarabangsa, selain tidak menyalin atau menyimpan data peribadi rakyat.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata setiap perkhidmatan yang diintegrasikan dalam sistem itu juga perlu menjalani ujian keselamatan dan pematuhan standard perlindungan data terlebih dahulu.
“Kita juga melaksanakan penilaian risiko dan audit sistem sebelum diaktifkan untuk kegunaan rakyat.
“MyGov Malaysia kekal sebagai platform penyampaian perkhidmatan tanpa menyimpan data peribadi rakyat kerana integrasi dilaksanakan melalui API (Application Programming Interface) dan data kekal selamat di sistem agensi masing-masing,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Gobind menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai bagaimana kementerian memastikan keselamatan data peribadi rakyat yang menggunakan platform berkenaan supaya tidak jatuh ke tangan pihak ketiga.
Beliau berkata kementerian sentiasa memantau setiap perkhidmatan yang ditawarkan aplikasi itu berpandukan kepada undang-undang negara, termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854).
Menurut Gobind, MyGOV Malaysia versi Beta yang dilancarkan pada 16 Ogos lepas telah mencatat sejumlah 113,000 muat turun, setakat semalam (17 Nov).
Pada fasa awal, aplikasi itu menyediakan 36 perkhidmatan secara integrasi daripada 13 agensi kerajaan, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta perkhidmatan MySejahtera.
“Kementerian kini sedang menambah 16 lagi perkhidmatan yang sedang melalui proses integrasi teknikal, termasuk pembaharuan lesen memandu, pembaharuan cukai jalan, serta pembaharuan saman JPJ dan PDRM,” katanya.
Gobind berkata aplikasi itu juga akan mengintegrasikan pembayaran bil utiliti, pemotongan dan pembayaran zakat, serta perkhidmatan pembayaran saman dan cukai pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Selain itu, permohonan MyKad gantian daripada JPN, permohonan wang tidak dituntut melalui sistem eGUMIS dan portal Manfaat di bawah Kementerian Kewangan turut berada dalam fasa pelaksanaan bagi membantu rakyat menyemak kelayakan bantuan atau inisiatif kerajaan dengan lebih mudah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial