AM > BERITA

Pendekatan Menyeluruh Negara Kunci Utama Pembinaan Bandar Lestari - Nga

18/11/2025 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Pendekatan menyeluruh negara dengan sokongan kerjasama merentas sektor amat penting dalam pembinaan bandar lestari, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata memperkasakan perkongsian ilmu antara bandar adalah penting bagi memastikan pengajaran, set peralatan dan penyelesaian terbukti boleh diguna pakai oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Nga merujuk kepada kerjasama kementerian dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) dalam usaha mitigasi banjir di seluruh negara melalui penyelesaian berasaskan alam semula jadi sebagai contoh pendekatan bersepadu itu.

“Bandar yang lestari tidak boleh dicapai oleh satu kementerian, seorang datuk bandar atau satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan setiap sektor bersatu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian bersempena dengan persidangan Cities: Possibilities 2025 yang mendapat sokongan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Beliau yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat menekankan bahawa pembinaan masa hadapan bandar perlu secara kolektif memandangkan kawasan bandar berada di barisan hadapan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dunia.

“Tugas kami untuk menyediakan penyelesaian yang bukan sahaja pintar, tetapi juga lestari, inklusif serta berpandukan keperluan tempatan. Selain melaksanakannya pada peringkat tempatan, Malaysia juga  komited untuk menjadi peneraju secara global,” katanya.

Nga berkata kepimpinan Malaysia melalui kerjasama UN-Habitat-COP30 membantu mengukuhkan hubungan antara bandar dan perubahan iklim serta memastikan mandat global bagi tadbir urus pelbagai peringkat.

Dalam rantau ASEAN, Malaysia terus menjadi peneraju agenda bandar pintar yang lebih inklusif dan berdaya tahan, termasuk usaha menaik taraf Rangkaian Bandar Pintar ASEAN (ASCN) kepada platform peringkat menteri menjelang 2026.

Amalan terbaik Malaysia juga diadaptasi secara serantau, antaranya pemuliharaan bandar berasaskan warisan di Melaka dan model perancangan di Pulau Pinang.

Pada peringkat kebangsaan pula, beliau berkata transformasi bandar yang berkesan bermula dengan memperkasakan PBT. 

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan