SEPANG, 19 Nov (Bernama) -- Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kesihatan Haiwan dan Zoonosis (ACCAHZ), yang dilancarkan hari ini, menandakan satu detik bersejarah dalam usaha serantau memperkukuh kawalan penyakit haiwan dan zoonosis, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai negara tuan rumah kepada pusat koordinasi yang diwartakan sebagai Organisasi Antarabangsa (ASEAN) ke-14 itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak berkata inisiatif penubuhan ACCAHZ bermula pada 2007, sebelum menerima pengesahan rasmi semua negara anggota ASEAN pada 2016 dan selepas 18 tahun, pusat itu kini beroperasi di Salak Tinggi dengan sokongan kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
“ACCAHZ merupakan satu entiti perundangan, mempunyai kuasa perundangan untuk menyelaras tindakan negara anggota ASEAN dalam pemantauan, pencegahan dan kawalan penyakit haiwan, termasuk zoonosis, penyakit yang boleh merebak daripada haiwan kepada manusia, dan menjadi ancaman besar kepada kesihatan awam serta ekonomi negara.
“Bila ada entiti perundangan, ACCAHZ berkeupayaan memperkukuh kerjasama dengan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH), Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) serta agensi global lain, dalam melaksanakan inisiatif kawalan penyakit,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran ACCAHZ, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron dan Pemangku Timbalan Pengarah Pertanian dan Agrimakanan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber Utama dan Pelancongan Brunei Dr Diana Dennis, selaku Pengerusi Lembaga Pengelola ACCAHZ.
Isham berkata keahlian ACCAHZ turut akan dipanjangkan kepada Timor-Leste, susulan penerimaannya sebagai anggota ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur baru-baru ini, bagi memastikan komitmen dan kerjasama serantau dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Sementara itu, Mohd Noor Hisham berkata penubuhan ACCAHZ memberikan manfaat dan impak yang sangat besar, kerana ia menggalakkan kerjasama serantau dengan pelbagai pertubuhan antarabangsa dalam membangunkan kerangka kawalan penyakit haiwan dan zoonosis, serta pembangunan kapasiti merangkumi program pemindahan pengetahuan, perkongsian kepakaran dan teknologi.
“Peranan ACCAHZ amat penting dalam menyelaras aktiviti bagi memastikan kawalan, pencegahan dan pembasmian penyakit haiwan, terutamanya penyakit hawian rentas sempadan dan zoonosis di semua negara ASEAN.
“Selain itu, melalui hubungan ACCAHZ bersama rakan dialog strategik yang lain, dilihat mampu mewujudkan banyak sokongan dari segi teknikal, sumber serta dana dalam membantu negara-negara ASEAN yang terlibat, antaranya kesiapsiagaan ketika menghadapi wabak penyakit dan menghubungkan negara terlibat dengan pakar penyakit haiwan dari seluruh negara,” katanya.
ACCAHZ, kini dianggotai 10 negara ASEAN yang telah menyempurnakan Perjanjian Penubuhan ACCAHZ 2016, iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Mohd Noor Hisham berkata DVS berada dalam keadaan siap siaga menghadapi musim banjir, dengan memastikan dua keutamaan utama dilaksanakan, iaitu membantu pemindahan haiwan ternakan ke kawasan selamat, serta membekalkan makanan ternakan seperti rumput kering dan dedak untuk disalurkan kepada penternak yang terjejas.
“Kita bantu penternak yang tidak mempunyai akses kepada makanan untuk diberikan kepada haiwan mereka. Bantuan ini diselaras pada peringkat negeri dan daerah, bagi memastikan ia sampai segera kepada penternak terlibat.
“Pada peringkat pusat, kita ada jawatankuasa bencana, yang kalau berlakunya kerosakan dan sebagainya kita ada elemen bantuan untuk disalurkan kepada penternak yang terjejas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial