AM > BERITA

Usaha Perkukuh Integriti Berhasil, NACS Tunjuk Lonjakan Ketara - SPRM

19/11/2025 05:35 PM

PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Usaha memperkukuh integriti dan membanteras rasuah di Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif apabila 24 daripada keseluruhan substrategi di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 berjaya disempurnakan setakat semalam.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata pencapaian itu merangkumi kejayaan 13 Ketua Agensi Peneraju melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab masing-masing, dengan lima substrategi diselesaikan pada 2024 dan baki 19 lagi sepanjang tahun ini.

Beliau berkata perkembangan itu mencerminkan komitmen serta dedikasi tinggi agensi peneraju dalam memastikan matlamat NACS dicapai secara menyeluruh.

“Saya menyeru agar Ketua Agensi Peneraju yang telah menyempurnakan substrategi masing-masing mempergiatkan usaha promosi dan publisiti terhadap pencapaian berkenaan, mengikut kesesuaian dan kemampuan peruntukan.

“Usaha ini penting kerana ia bukan sahaja membuktikan iltizam berterusan kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus dan membanteras rasuah secara konsisten, tetapi juga membantu membentuk persepsi positif masyarakat di dalam dan luar negara terhadap kesungguhan Malaysia melaksanakan agenda integriti,” katanya di dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azam mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Prestasi (NACS) Siri 3 Bil. 2 Tahun 2025 di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Menurut beliau, pelaksanaan NACS turut diiktiraf sebagai antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), selain diperkukuh melalui penubuhan Pasukan Petugas Khas CPI dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mesyuarat itu turut dimaklumkan bahawa sembilan substrategi jangka pendek masih belum disempurnakan dan perlu dilengkapkan sebelum 31 Dis 2025.

Daripada jumlah itu, empat agensi telah memohon lanjutan masa dan permohonan berkenaan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional pada 8 Dis ini, manakala lima substrategi lain diminta diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

SPRM, melalui Sekretariat NACS turut menyatakan komitmen membantu agensi peneraju yang berdepan cabaran dalam melaksanakan substrategi masing-masing.

“Kejayaan NACS bergantung kepada usaha kolektif semua pihak. Saya berharap mesyuarat hari ini menghasilkan langkah susulan yang lebih tuntas dan berimpak tinggi dalam memperkukuh tadbir urus, integriti dan kebertanggungjawaban nasional.

“Bagi memastikan ketelusan dan kawal selia berkesan, pemantauan pelaksanaan substrategi dibuat melalui dua papan pemuka digital, iaitu r-NACS dan d-NACS, yang beroperasi di bawah pelayan SPRM,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid, Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) Datuk Idris Zaharudin, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Ahmad Nizam Ismail serta wakil agensi peneraju.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan