BACHOK, 18 Nov (Bernama) -- Perkhidmatan Awam kini berdepan defisit integriti dan persepsi negatif walaupun tindakan pengesanan dan pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semakin agresif, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata data menunjukkan persepsi global terhadap tahap rasuah di Malaysia masih statik, justeru kerajaan perlu memperkukuh tadbir urus serta mengadakan langkah pencegahan di peringkat agensi dan kepimpinan.
“Bagi menangani isu ini, kerajaan telah memperkenalkan dua instrumen baharu. Pertama, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam yang bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan ketelusan tadbir urus.
“Kedua adalah pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) oleh Institut Integriti Malaysia bagi memperkukuh integriti dan tata kelola organisasi awam secara menyeluruh,” katanya ketika berucap pada Seminar Perkhidmatan Awam MADANI di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Bachok di sini hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Arham Abdullah dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Wan Ahmad Dahlan berkata geseran institusi dan kerenah birokrasi masih menjadi cabaran utama dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau berkata cabaran itu berpunca daripada halangan struktur dalaman dalam tatakelola organisasi yang menyukarkan kerjasama rentas agensi, sekali gus menjejaskan keberkesanan dan membawa kepada pembaziran sumber.
“Satu daripada faktor utama ialah mentaliti silo yang menyebabkan inisiatif strategik negara sukar direalisasikan.
“Sebagai contoh, pelaksanaan Perkhidmatan Digital Keseluruhan Kerajaan yang memerlukan integrasi digital secara lancar dan penyampaian perkhidmatan daripada awal hingga akhir merentas agensi terjejas akibat setiap agensi beroperasi secara berasingan,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata situasi itu memutuskan rantaian perkhidmatan yang kritikal dan menjejaskan kualiti penyampaian kepada rakyat.
Beliau berkata bagi mengatasi isu itu, kerajaan telah memperkenalkan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan Penilaian Prestasi Demerit (DEEP).
“Hasilnya, pada 2024 ARPA berjaya menjimatkan RM542 juta, manakala DEEP digunakan untuk memantau prestasi ketua jabatan berdasarkan impak nyata kepada rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial