Oleh Muhammad Saufee Rosman
TENOM, 20 Nov (Bernama) -- Di sebalik kepulan asap yang penuh beraroma dan menyegarkan, berdiri kukuh Yit Foh Coffee Factory Sdn Bhd, sebuah kilang pengeluar kopi yang telah menyaksikan perkembangan industri kopi di daerah ini lebih enam dekad.
Kilang yang mengeluarkan jenama Yit Foh Coffee itu membuktikan bahawa warisan yang dipelihara dan diperkasakan bukan sahaja menjadi kebanggaan masyarakat setempat, malah berupaya menjadi penyumbang penting kepada ekonomi kawasan pedalaman.
Bagi Pengarah Yit Foh Coffee Factory Sdn Bhd Alex Yong, legasi yang ditinggalkan ayahnya, Yong Loong Vun bukan sekadar perniagaan keluarga, tetapi warisan yang mesti dipertahankan sejak kilang itu ditubuhkan pada 1960.
“Memulakan perniagaan dari bawah lebih mudah tetapi mengambil alih pengurusan adalah lebih sukar, malah dunia juga semakin berubah. Namun, kami cuba untuk kekal relevan dengan mempelbagaikan produk dan mengikuti arus semasa kerana kami bersedia untuk revolusi baharu daripada semua aspek,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Terletak kira-kira 150 kilometer dari Kota Kinabalu, kini kilang kopi tertua di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong itu terus 'menyebarkan' aroma kopi segar ke seluruh Sabah dan Semenanjung, malah turut memikat peminat kopi dari luar negara seperti Brunei.
Berkongsi lebih lanjut dengan Bernama, Yong berkata keunikan jenama mereka terletak pada pengekalan kaedah panggang tradisional yang menghasilkan rasa lebih pekat dan kuat dengan aroma yang mempersona, sekali gus menjadikannya pilihan utama peminat kopi tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata Yit Foh Coffee menggunakan biji kopi Robusta yang sesuai dengan bentuk muka bumi Tenom serta kos penanaman yang lebih rendah, namun tetap mengekalkan kualiti rasa yang digemari peminat kopi.
Katanya Yit Foh Coffee menghasilkan kira-kira 30 jenis produk termasuk serbuk kopi tradisional yang digemari warga tua, masyarakat kampung serta pelancong Eropah dan China yang lebih selesa membancuh kopi mengikut cita rasa sendiri.
Bagi menarik minat generasi muda, Yit Foh Coffee turut memperkenalkan variasi moden seperti produk "Matcha Latte" dan rangkaian kopi di bawah jenama Velesa yang memudahkan penembusan pasaran antarabangsa.
“Kami juga telah membuka dua cawangan Yit Foh Kopitiam di Kota Kinabalu tahun ini. Sasaran kami adalah mengembangkan ke seluruh Sabah terlebih dahulu sebelum dikembangkan ke Semenanjung,” tambahnya.
Selain pengeluaran kopi, beliau berkata kilang Yit Foh Coffee turut menjadi tarikan pelancongan yang semakin mendapat sambutan, dengan kehadiran pelawat dari Sabah, Sarawak, Semenanjung, Brunei malah China hampir setiap minggu.
"Kebanyakan mereka datang untuk melihat proses pengeluaran kopi di kilang ini selain mengambil peluang bercuti di Yit Foh Coffee Factory and Park, membeli produk-produk kami sebagai hadiah kepada keluarga atau rakan-rakan dan ini merancakkan ekonomi setempat dalam pelbagai aspek," katanya.
Di sebalik kejayaan jenama berkenaan, terdapat ramai pengusaha kopi kecil yang bergantung kepada Kilang kopi Yit Foh sebagai pusat menghantar hasil tuaian masing-masing, sekali gus meningkatkan pendapatan penanam kopi di daerah itu.
Sehubungan itu, Yong berharap dengan sokongan kerajaan Sabah dan Persekutuan melalui pemberian dana, latihan serta pembangunan kemahiran dapat dipertingkatkan bagi mengangkat industri kopi Tenom ke tahap lebih tinggi.
“Jika pengeluaran biji kopi dapat diperkasakan, ekonomi daerah ini juga akan berkembang supaya kami dapat terus menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kopi Tenom,” katanya.
Selain DUN Kemabong, satu lagi DUN dalam Parlimen Tenom yang akan terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 Nov ini ialah Melalap.
Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial