AM > BERITA

PRN Sabah, Peluang Kerajaan Persekutuan Jelaskan Pelbagai Isu - PM Anwar

21/11/2025 03:40 PM

Daripada M.Saraswathi

JOHANNESBURG, 21 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 merupakan peluang bagi Kerajaan Persekutuan menjelaskan pelbagai isu serta inisiatif kerajaan Pusat yang telah, sedang dan akan dilaksanakan di negeri itu.

Beliau berkata pilihan raya berkenaan juga menjadi medan bagi penduduk Sabah menilai sebaiknya pelbagai inisiatif yang sedang dan telah dilaksanakan Kerajaan MADANI di negeri berkenaan.

“Sudah tiga tahun (Kerajaan MADANI mentadbir). Untuk Sabah, saya lakukan sedaya upaya. Soal api (elektrik), mereka minta kita serahkan kembali (kuasa kawal selia bekalan elektrik), kita serahkan. Tidak cukup dana, kita tambah, termasuk usaha lain yang sebenarnya tidak berada dalam skop Kerajaan Persekutuan.

“Ini termasuk isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Masalah air di UMS, saya telah luluskan RM3 juta,” katanya kepada wartawan Malaysia dalam penerbangan dari Ethiopia ke Afrika Selatan.

Pada 2023, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM3 juta kepada UMS bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di universiti itu.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Okt 2023 turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah telah mencapai kesepakatan mengenai penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang berkuat kuasa pada 3 Jan 2024.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau turut meneliti pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah dan menegaskan bahawa pelaksanaan projek itu dijangka lebih cekap di bawah pendekatan tender terbuka dan telus.

“Saya beritahu Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri Sabah), hanya syarikat yang benar-benar mampu melaksanakan projek ini boleh terlibat. Kita sudah rugi dua tiga tahun. Bahagian Pan Borneo di Sarawak hampir siap,” katanya.

Ditanya mengenai parti tempatan Sabah yang memainkan sentimen kenegerian, Anwar berpendapat parti-parti terbabit mengalihkan perhatian daripada isu pokok, iaitu isu rompakan hasil negara sama ada di Semenanjung atau di Sabah, serta isu tadbir urus.

“Bagi saya, tidak timbul soal parti Semenanjung atau parti Sabah. Parti perlu berkhidmat,” katanya.

“Saya tiada masalah (dengan parti tempatan), tetapi apabila mereka tidak bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dan tidak menunjukkan komitmen kepimpinan, rakyat akan terbeban,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal pada 25 Nov.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan