AM > BERITA

EE Challenge Catat Penjimatan Tenaga Melebihi RM900,000 Sejak 2014 - Fadillah

20/11/2025 02:29 PM

PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) -- Program Kecekapan Tenaga (EE Challenge) terus mencatat impak signifikan dalam meningkatkan kesedaran penggunaan tenaga berhemah apabila berjaya menjimatkan 1,701,055 kilowatt jam (kWh), bersamaan RM900,841, sepanjang 12 tahun penganjurannya dari 2014 hingga 2025.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kejayaan itu turut mengelakkan pelepasan 1,316 tan karbon dioksida (CO₂) ke atmosfera dalam tempoh tersebut.

“Pengurangan karbon ini menyamai pertumbuhan lebih 54,850 batang pokok selama 10 tahun. Pencapaian ini membuktikan bahawa usaha kecil yang dilakukan secara konsisten mampu menghasilkan impak yang besar,” katanya pada majlis penyampaian hadiah EE Challenge 2025, di sini hari ini.

Fadillah berkata edisi EE Challenge tahun ini merekodkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 2024 dengan penjimatan 133,030 kWh, bersamaan RM60,395.

Beliau berkata program berkenaan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Malaysia Energy Literacy Program (MELP), iaitu inisiatif literasi tenaga peringkat kebangsaan untuk membentuk masyarakat celik tenaga melalui aktiviti berasaskan pendidikan dan hiburan.

Fadillah berkata program celik tenaga nasional akan diperluas mulai tahun depan, termasuk melalui integrasi kandungan ke dalam platform Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Selain itu, ia turut diperluaskan melalui penganjuran karnival di setiap negeri bagi memberi peluang kepada masyarakat merasai sendiri pelbagai aktiviti serta pertandingan berasaskan pendidikan tenaga.

“Langkah ini penting dalam membentuk masyarakat celik tenaga yang mampu membuat keputusan penggunaan tenaga secara bijak,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kecekapan tenaga bukan hanya bergantung kepada teknologi, tetapi bermula daripada sikap, disiplin dan kesedaran individu, terutama dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, amalan cekap tenaga terbentuk melalui pilihan kecil yang dilakukan setiap hari seperti memadam lampu yang tidak digunakan, mengelakkan pembaziran dan menghargai sumber sedia ada.

“Kecekapan tenaga, disiplin penggunaan dan penjagaan alam adalah sebahagian daripada ihsan. Ia bukan hanya soal teknologi atau dasar, tetapi cerminan akhlak, akal budi dan amanah kita sebagai penjaga bumi,” katanya.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi, Melaka dinobatkan sebagai Sekolah Paling EE, sekali gus mengungguli kategori sekolah menengah seluruh negara dalam usaha memupuk budaya kecekapan tenaga.

Sekolah itu meraih tempat pertama dan membawa pulang plak penghargaan, wang tunai RM15,000 serta sijil pencapaian.

Naib johan disandang SMK (P) Sultan Ibrahim, Johor dengan hadiah RM12,000, manakala tempat ketiga menjadi milik SMK Kerteh, Terengganu yang menerima RM10,000.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan