AM > BERITA

Perkukuh Kerjasama, Tadbir Urus AI Bagi Tingkat Kredibiliti Industri Negara - Fadillah

19/11/2025 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru kerjasama lebih kukuh antara kerajaan, industri, ahli akademik dan inovator bagi memperkasakan kredibiliti industri negara di peringkat global di samping memastikan Malaysia terus berpegang teguh kepada kualiti, kemampanan dan kecemerlangan.

Beliau berkata kerjasama rentas sektor sedemikian amat penting bagi memastikan setiap piawaian, pensijilan, produk dan penyelesaian teknologi memberi sumbangan bermakna kepada kedudukan antarabangsa Malaysia, khususnya melalui institusi nasional seperti SIRIM Berhad.

“Kita tetap teguh menyokong SIRIM sebagai badan pensijilan negara dan sebagai institusi terkemuka yang menerajui tadbir urus kecerdasan buatan (AI), pembuatan pintar serta ekosistem industri mampan.

“Kita mesti memilih kerjasama, inovasi dan tanggungjawab untuk memastikan masa depan industri Malaysia dibentuk oleh kekuatan, kemampanan dan kecemerlangan global,” katanya ketika berucap pada Majlis SIRIM Industri 2025 yang bertemakan “Kualiti dan Kemampanan menerusi Inovasi Dipacu AI” di sini malam ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Malaysia mesti bertindak tegas dalam menerima pakai AI sebagai pemangkin untuk kilang yang lebih pintar, operasi yang lebih hijau, produk yang lebih selamat serta daya saing bertaraf dunia.

Beliau berkata peranan SIRIM telah berkembang melangkaui menetapkan piawaian, sebaliknya memposisikan sebagai sebuah organisasi yang membentuk potensi industri dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan global yang diyakini.

“Selama 50 tahun, SIRIM bukan sahaja menetapkan standard, ia telah menentukan hala tuju potensi hasil masa hadapan. Ia menjadi arkitek senyap di sebalik keyakinan yang dinikmati Malaysia hari ini sebagai rakan perindustrian global yang dipercayai.

“Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memandu kita di sepanjang perjalanan ini, mengingatkan bahawa kekuatan ekonomi tidak bermakna melainkan ia inklusif, mampan dan berteraskan nilai,” katanya.

Pada acara itu, SIRIM Berhad mengumumkan pengenalan dua pensijilan baharu, iaitu Pensijilan Sistem Pengurusan AI (ISO/IEC 42001) dan Pensijilan Sistem Pengurusan Inovasi (MS ISO 56001).

ISO/IEC 42001, piawaian antarabangsa pertama di dunia untuk tadbir urus AI yang bertanggungjawab dan telus, menyediakan organisasi dengan rangka kerja tersusun untuk mengurus AI secara beretika dan bertanggungjawab.

Sementara itu, MS ISO 56001 menawarkan pendekatan sistematik bagi organisasi untuk mengurus inovasi dengan berkesan, memperkukuh proses dalaman, memupuk kreativiti secara tersusun dan membina kemampuan inovasi jangka panjang.

SIRIM Berhad juga telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records kerana mempunyai 396 juruaudit, jumlah tertinggi dalam sesebuah organisasi di negara ini, sekali gus menekankan keupayaan teknikal yang kukuh dan komitmen jangka panjangnya terhadap jaminan kualiti negara.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan & Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Bahria Mohd Tamil, Pengerusi SIRIM Datuk Dr Khairol Anuar Mohamad Tawi, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Nik Sazali Nik Hussin serta Ahli Lembaga Pengarah SIRIM.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan