AM > BERITA

Karnival Zakat Selangor 2025 Tawar 1,500 Peluang Kerjaya, Aktiviti Komuniti Dan Jualan Rahmah

20/11/2025 02:51 PM

SHAH ALAM, 20 Nov (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menganjurkan Karnival Zakat Selangor 2025 dari 27 hingga 29 Nov ini di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini.

Karnival tiga hari yang dibuka dari 9 pagi hingga 9 malam itu menawarkan pelbagai pengisian interaktif merangkumi pameran, program komuniti dan aktiviti kekeluargaan yang sesuai untuk semua peringkat umur.

LZS dalam kenyataan memaklumkan karnival itu merupakan satu daripada inisiatif pihaknya untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan zakat serta mengeratkan hubungan bersama masyarakat dalam suasana yang santai dan inklusif.

Menurut kenyataan itu, lebih 150 pempamer terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat swasta, industri dan usahawan tempatan akan mengambil bahagian, memberikan akses kepada masyarakat terhadap maklumat, perkhidmatan dan inisiatif yang diketengahkan.

“Tumpuan utama karnival ini ialah Karnival i-Kerjaya yang menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan daripada 20 majikan, merangkumi sektor perkhidmatan, pembuatan, perdagangan, automotif serta makanan dan minuman.

“Inisiatif ini terbuka kepada semua pencari kerja dengan keutamaan diberikan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf berdaftar, bagi membantu mereka memperoleh peluang kerjaya yang stabil dan bersesuaian,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, karnival turut menampilkan pelbagai aktiviti lain termasuk sukaneka rakyat, Zakat Run, zon E-Sports dan VR Spot. Pengunjung juga berpeluang menikmati Jualan Rahmah, Food Festival dan cabutan bertuah harian.

Forum Perdana, kemunculan maskot popular Omar dan Hana, Recycle Corner serta pertandingan mewarna turut disediakan bagi menarik kehadiran seisi keluarga.

Menurut LZS, cenderahati istimewa menanti pengunjung yang mendaftar di lokasi, selain peluang memenangi tiga buah motosikal sempena Kempen Hujung Tahun LZS.

Bagi kemudahan orang ramai, kaunter bancian asnaf, semakan bantuan, serta perkhidmatan taksir dan bayaran zakat turut disediakan sepanjang karnival, menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui media sosial rasmi LZS di Facebook, Instagram dan TikTok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan