AM > BERITA

Selangor Struktur Semula Perkhidmatan Internet Awam - Exco

20/11/2025 05:48 PM

SHAH ALAM, 20 Nov (Bernama) -- Pendekatan penyediaan perkhidmatan Internet awam di Selangor sedang distruktur semula di bawah Pelan Digitalisasi Negeri Selangor 2026-2030 bagi memastikan akses lebih berkesan, mampan dan memberi impak maksimum kepada rakyat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata selaras dengan itu, program WiFi Smart Selangor (WSS) dinyahaktif sementara bagi memberi ruang kepada penyemakan pelan teknikal, penyelarasan semula lokasi dan pelaksanaan model baharu.

Beliau berkata langkah itu diambil selepas kajian mendapati tahap penggunaan di kebanyakan lokasi rendah, selain perkembangan pesat rangkaian mudah alih 5G yang menawarkan capaian Internet lebih pantas pada kos lebih rendah.

“Kajian terperinci sedang dijalankan untuk menilai keperluan, lokasi sesuai serta pendekatan terbaik bagi pelaksanaan semula program ini.

“Penyusunan semula dijangka menjimatkan kos, seterusnya membolehkan dana disalurkan kepada inisiatif digital lain yang memberi manfaat lebih besar kepada rakyat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (PH-Lembah Jaya) berhubung capaian Internet berkelajuan tinggi, liputan 5G dan WiFi awam percuma di kawasan berpenduduk padat.

Mohammad Fahmi berkata semakan itu dilaksanakan di bawah Pelan Digitalisasi Negeri Selangor 2026-2030 melalui inisiatif WiFi Smart Selangor 3.0 (Inisiatif Keterangkuman Digital Negeri).

Beliau berkata pelaksanaan semula akan dibuat secara berfasa, dengan tumpuan kepada kawasan berimpak tinggi seperti perumahan padat, sekolah, perpustakaan awam dan pusat komuniti.

“Dalam tempoh peralihan ini, PLANMalaysia@Selangor dengan sokongan Smartsel Sdn Bhd melaksanakan program Smart Desa Selangor bagi menyediakan kemudahan Internet untuk menyokong aktiviti komuniti serta pusat maklumat desa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan