AM > BERITA

TikTok, Content Forum Dan MCMC Lancar Panduan Ibu Bapa Bagi Kesejahteraan Digital Remaja

21/11/2025 08:44 AM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Panduan #ThinkTwice Ibu Bapa dilancarkan hari ini bagi membantu ibu bapa melindungi keselamatan digital remaja menerusi kerjasama TikTok, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

TikTok dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu adalah sebahagian daripada kempen literasi digital berterusan #ThinkTwice yang menekankan pendekatan berasaskan komuniti dan bukti terhadap keselamatan dalam talian.

Kempen itu turut menegaskan kepentingan tanggungjawab kolektif antara ibu bapa, platform digital dan penggubal dasar, sambil menghormati hak kanak-kanak untuk mengakses maklumat, menyuarakan pandangan, melindungi privasi dan menikmati kebebasan berfikir.

Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum Mediha Mahmood berkata kesejahteraan digital remaja memerlukan sokongan keluarga kerana tabiat dan budaya dalam talian terbentuk daripada persekitaran rumah yang sihat.

“Keselamatan dalam talian tidak sewajarnya bermaksud menyekat akses remaja daripada ruang digital. Internet hanyalah cerminan kepada isu sosial di dunia sebenar. Budaya terbentuk daripada komuniti dan tabiat baik bermula daripada rumah.

“Kita harus memperkasakan ibu bapa untuk memupuk kreativiti sambil menanamkan sikap berwaspada, menggalakkan rutin sihat dan membina perbualan bermakna bersama anak remaja,” katanya.

Ketua Dasar Awam Malaysia TikTok Firdaus Fadzil berkata cabaran yang dihadapi remaja seperti buli, tekanan rakan sebaya, isu kesihatan mental dan tabiat berbahaya bukanlah fenomena baharu, namun peranan ibu bapa kekal penting dalam membimbing mereka.

“Ibu bapa dan penjaga adalah pembimbing utama kerana merekalah yang paling rapat dan memahami keperluan anak-anak. Justeru, kami mahu memperkasakan ibu bapa dengan pengetahuan dan alat untuk memupuk generasi digital secara bertanggungjawab agar remaja kita lebih bersedia mengharungi dunia Internet dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata Panduan #ThinkTwice ini membantu ibu bapa memainkan peranan aktif melalui penggunaan ciri keselamatan TikTok yang menyeluruh, selari dengan dapatan kajian global.

Dalam kenyataan sama, MCMC memaklumkan panduan itu melengkapkan Kempen Internet Selamat MCMC serta menyokong usaha kerajaan mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Menurut MCMC, platform seperti TikTok memainkan peranan penting dalam melindungi pengguna sambil menghormati hak kanak-kanak untuk mengakses maklumat dan menyatakan pandangan secara sesuai dengan usia, selaras dengan komitmen Malaysia memperkukuh standard keselamatan dalam talian.

“Inisiatif seperti #ThinkTwice melengkapkan keluarga dengan alat, panduan dan kesedaran praktikal supaya golongan remaja di Malaysia dapat meneroka, belajar dan berhubung dalam talian dengan yakin dan selamat,” katanya.

Panduan berkenaan turut memperkenalkan tiga tip praktikal bagi membantu ibu bapa meningkatkan keselamatan digital remaja.

Tip pertama: Awasi aktiviti digital anak remaja - melalui ciri ‘Family Pairing’, ibu bapa boleh memaut akaun mereka dengan akaun remaja untuk memantau aktiviti, menerima notifikasi muat naik dan melihat masa penggunaan melalui ‘Screen Time Dashboard’.

TikTok juga menetapkan akaun peribadi secara automatik bagi pengguna bawah 16 tahun selaras dengan prinsip “Safety by Design” manakala kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dibenarkan membuka akaun.

Tip kedua: Sesuaikan tetapan mengikut keperluan remaja, termasuk menetapkan had masa skrin, mematikan notifikasi, memilih status akaun peribadi atau umum, mengurus mesej langsung serta menyesuaikan kekerapan kandungan menerusi ciri ‘Manage Topics’.

Tip ketiga: Mulakan perbualan tentang literasi digital, iaitu galakkan dialog terbuka mengenai trend, risiko atau pengalaman tidak selesa di Internet, di samping membantu remaja memahami cara membuat sekatan, aduan dan berinteraksi secara selamat.

Melalui hab pengetahuan #ThinkTwice, ibu bapa boleh mengakses bahan rujukan mengenai pencegahan penipuan, keselamatan mental dan panduan literasi digital untuk memperkukuh daya pertimbangan remaja.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan