REMBAU, 20 Nov (Bernama) -- Masjid Kariah Bongek di sini bernilai RM6 juta siap dibina sepenuhnya dan sedia digunakan untuk menunaikan solat serta pelaksanaan pelbagai aktiviti keagamaan bagi komuniti setempat.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata masjid berkenaan dibina semula dengan keluasan 0.458 hektar bagi menggantikan masjid lama berusia lebih 70 tahun yang sebelum ini musnah akibat kebakaran empat tahun lepas.
Beliau berkata pembinaan itu melalui kerjasama kerajaan negeri dengan peruntukan RM2.4 juta manakala Kerajaan Persekutuan menyediakan dana RM3.6 juta serta kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) negeri.
"Masjid ini mampu menampung kira-kira 360 jemaah pada satu-satu masa, dilengkapi dengan kemudahan asas yang lengkap dan boleh melaksanakan solat Jumaat di sini bermula esok, Alhamdulillah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan masjid itu hari ini.
Aminuddin berkata masjid itu dibina di tapak bersebelahan lokasi asal, dengan sebahagiannya melibatkan tanah wakaf orang awam serta tambahan tanah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) yang diurus oleh Perbadanan Aset Keretapi.
Dalam pada itu, Imam Masjid Kariah Bongek Muhamad Azlan Rusli, 41, melahirkan rasa syukur atas pembinaan masjid berkenaan.
"Tidak lama lagi kita akan menyambut Ramadan, bolehlah kami laksanakan solat tarawih dengan lebih selesa di sini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial