SUKAN > BERITA

DEAFYMPICS 2025: MALAYSIA RAIH PERAK BOLING BEREGU WANITA

22/11/2025 09:02 PM

TOKYO, 22 Nov (Bernama) -- Skuad boling Malaysia meneruskan momentum kilauan pingat apabila beregu wanita kebangsaan meraih perak pada Deaflympics Tokyo 2025 di Higashiyamato Grand Bowl di sini hari ini.

Gandingan negara, Nor Misha Nathera Mackery dan Huwainaa Danduan Abdullah yang mempamerkan aksi penuh bersemangat pada perlawanan akhir, bagaimanapun tewas kepada pasangan Korea Selatan, Lee Chanmi-Heo Seonsil dengan jatuhan pin 175-203 dan 180-208.

Walaupun mengalami kekalahan, kedua-dua atlet itu menunjukkan semangat juang tinggi sepanjang pertandingan dan memastikan satu lagi wakil negara berjaya menaiki podium.

Pingat perak berkenaan hadir hanya sehari selepas Syabil Azam Syamsul Azam dan Ho Choon Seong mengejutkan Danyliuk Vadym-Ialovega Vladyslav dari Ukraine untuk meraih emas pertama Malaysia dalam kejohanan berkenaan dengan kemenangan 2-1.

Gandingan Malaysia itu mengekalkan ketenangan untuk mengumpulkan jatuhan pin 243, 181 dan 226 untuk mengatasi wakil Ukraine dalam perlawanan akhir yang mendebarkan, menandakan pencapaian bersejarah bagi skuad boling.

Sebelum ini, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) menyasarkan emas menerusi acara beregu wanita dan beregu campuran dalam badminton serta boling berpasukan lelaki.

Jumlah pingat Malaysia setakat ini ialah satu emas (boling beregu lelaki), satu perak (boling beregu wanita) dan satu gangsa (badminton beregu campuran).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan