GEORGE TOWN, 20 Nov (Bernama) -- Projek Penang World City (PWC) dan Penang Linear Waterfront (PLW) dijangka menjana pendapatan sehingga RM1.31 bilion kepada kerajaan negeri, sekali gus mengukuhkan kedudukan fiskal dan menyokong lebih banyak program pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata unjuran itu mencerminkan peranan berterusan kerajaan negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dalam memacu pembangunan sosioekonomi.
“Kerjasama ini memberi tumpuan kepada menarik pelaburan berkualiti, membangunkan kawasan strategik dan pada masa sama menjana hasil kepada negeri.
“Projek-projek tebus guna di persisiran pantai Queensbay dekat sini adalah contoh jelas sinergi ini, yang bukan sahaja mengubah landskap kawasan itu tetapi turut membuka peluang ekonomi baharu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2026 (Belanjawan Negeri 2026) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Selain itu, beliau berkata inisiatif seperti itu juga dapat meningkatkan nilai hartanah dengan manfaatnya kembali kepada rakyat melalui bahagian kepentingan kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Chow berkata Akaun Hasil Disatukan Pulau Pinang meningkat kepada RM397.71 juta setakat hari ini berbanding RM155.4 juta pada awal tahun, sekali gus menunjukkan usaha kerajaan negeri mengukuhkan kedudukan kewangan melalui peningkatan hasil dan perbelanjaan berhemah.
Beliau berkata peningkatan rizab negeri dipacu oleh kutipan hasil cukai dan bukan cukai termasuk premium tanah, bayaran lesen serta dividen pelaburan selain penjimatan perbelanjaan.
Beliau turut menjangkakan langkah berkenaan meningkatkan hasil cukai kepada RM300 hingga 350 juta setahun daripada RM140 hingga 145 juta dalam tempoh lima tahun manakala hasil bukan cukai pula dijangka meningkat kepada RM400 hingga 450 juta setahun berbanding RM300 juta ketika ini.
Sementara itu, Chow berkata prestasi pelaburan sektor pembuatan Pulau Pinang terus menunjukkan perkembangan kukuh apabila negeri itu kekal sebagai peneraju utama pelaburan berteknologi tinggi di Malaysia.
“Rekod pelaburan dari 2009 hingga suku ketiga 2025 membuktikan Pulau Pinang berada dalam kelas tersendiri menarik pelaburan langsung asing, iaitu jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan bagi tahun 2009 hingga 2018 sebanyak RM65.67 bilion.
“Sementara itu, bagi 2019 hingga suku ketiga 2025, jumlah pelaburan pembuatan meningkat kepada RM217.42 bilion. Peningkatan lebih tiga kali ganda ini mencerminkan peningkatan tahap keyakinan pelabur terhadap Pulau Pinang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial