GEORGE TOWN, 20 Nov (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang berlangsung sejak 14 Nov, ditangguhkan hari ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Pulau Pinang ke-15 itu menyaksikan sebanyak 73 soalan lisan, 766 soalan bertulis, tiga usul serta dua rang undang-undang telah dibentangkan.
Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2026 yang dibentangkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow telah diluluskan melalui undian suara, selepas dibahaskan 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Jumaat lepas, Chow membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.088 bilion, yang menyaksikan anggaran defisit terendah dalam sejarah negeri, iaitu RM19.92 juta berbanding unjuran defisit 2025 sebanyak RM33.63 juta.
Antara usul yang diluluskan ialah pengelasan semula Akaun Amanah Pengurusan Kompleks Masyarakat Penyayang daripada Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) kepada Kumpulan Wang Amanah Pengurusan Kompleks Masyarakat Penyayang Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957.
Selain itu, usul pembatalan perlantikan seorang Timbalan Pengerusi dan seorang ahli lembaga rayuan, serta usul perlantikan baharu seorang timbalan pengerusi dan empat ahli lembaga rayuan di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 (Enakmen 16) bagi sesi 2024/2027 turut diluluskan.
Sebelum menutup tirai, Persidangan DUN Pulau Pinang hari ini turut sebulat suara tanpa bahas meluluskan Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial