AM > BERITA

Selangor Sasar 20,000 Hadir Festival Kampung Baru Selangor 2026

21/11/2025 04:48 PM

SHAH ALAM, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung bagi memeriahkan Festival Kampung Baru Selangor 2026 Jom Thit Tho Lah! yang berlangsung dua hari bermula 24 Jan 2026.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata festival dengan kerjasama Tourism Selangor di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pandamaran B, Klang menyasarkan pelancong domestik selain dari China, Hong Kong dan Taiwan.

Beliau berkata festival itu mempromosikan warisan kampung baru Selangor di samping menggabungkan elemen budaya dan pelancongan berteraskan konsep “bermain”.

Ng berkata festival menampilkan konsep “Memang Seronok’ melalui enam zon utama, iaitu Jom Jalan, Jom Makan, Jom Beli, Jom Main, Jom Snap Bersama dan Jom Reka untuk mengangkat identiti kepelbagaian 77 kampung baru di Selangor.

“Tujuannya membawa pengunjung menyelami kehidupan kampung baru melalui pengalaman lima deria dan seterusnya menghargai semula nilai budaya serta identiti setempat.

“Dengan pendekatan masuk kampung untuk merasai pengalaman sebenar, festival ini memberi peluang kepada pengunjung menyertai, merakam dan membawa pulang pengalaman budaya secara langsung,” katanya.

Ng berkata demikian pada sidang media penganjuran Festival Kampung Baru Selangor 2026 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling di Wisma Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ng berkata sebahagian tapak festival akan menempatkan zon penjualan pelancongan negeri yang menawarkan promosi khas oleh agensi pelancongan selaras dengan momentum Tahun Melawat Selangor 2025 dan persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan