AM > BERITA

4,100 Rumah Perlu Dibina Di Melaka Setiap Tahun Untuk Capai Sasaran Pemilikan

21/11/2025 06:00 PM

MELAKA, 21 Nov (Bernama) -- Sekurang-kurangnya 4,100 unit rumah baharu perlu dibina setiap tahun di Melaka bagi membolehkan sasaran peratus pemilikan rumah mencapai 88 peratus menjelang 2030 dicapai.

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk Murad Husin berkata sasaran yang bermula sejak 2020 itu selaras dengan dasar meningkatkan akses rakyat kepada kediaman mampu milik.

“Setakat ini Melaka berjaya mengekalkan purata pembinaan baharu setiap tahun walaupun pernah berdepan tempoh mencabar termasuk semasa pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah, pencapaian pembinaan rumah baharu kekal memuaskan dan kita yakin sasaran berkenaan mampu dicapai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ekspo Rumah Mampu Milik (RMM) Negeri Melaka 2025 di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Murad berkata ekspo itu menghimpunkan 13 pemaju serta tujuh agensi berkaitan termasuk institusi kewangan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membantu pembeli yang layak.

Beliau berkata sebanyak 1,160 unit rumah berstatus pemilikan ditawarkan pada ekspo kali ini, namun pembeliannya tertakluk kepada syarat asas termasuk kelulusan LPM dan pematuhan kriteria rumah pertama.

“Kita beri keutamaan kepada mereka yang berada dalam julat pendapatan ditetapkan supaya mereka berpeluang memiliki rumah sendiri. Ada pembeli yang mempunyai slip gaji tetapi tidak layak disebabkan tanggungan besar dan di sinilah SJKP membantu mereka mendapatkan pembiayaan,” katanya.

Beliau berkata Melaka masih menawarkan harga purata kediaman terendah berbanding beberapa negeri lain, sekali gus menarik minat bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga pembeli luar negeri ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan