AM > BERITA

Konflik Berterusan Palestin-Israel Tidak Halang Majed Tamatkan PhD

21/11/2025 06:38 PM

GEORGE TOWN, 21 Nov (Bernama) -- Konflik berterusan antara Israel dan Palestin tidak menghalang seorang pelajar Majed F.S. Habib untuk meneruskan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Majed, 46, tetap bersemangat dan tidak pernah berputus asa menghadapi dugaan itu, malah berkat kesabaran, kecekalan dan ketekunan yang tinggi, beliau berjaya menamatkan sesi pembentangan akhir atau viva voce pada Rabu lepas, sekali gus menandakan perjalanan akademik beliau di Malaysia kini semakin menghampiri penamat.

USM dalam kenyataan memaklumkan kajian PhD yang dijalankan Majed ialah meneliti kandungan laporan akhbar dalam talian mengenai perang Gaza 2023 dan persepsi pengguna terhadap pemaparan berita dalam laman web berkenaan.

Kenyataan itu memaklumkan Penyelidikan itu menyumbang kepada perkembangan ilmu dalam bidang kewartawanan, khususnya berkaitan kewartawanan perang dan konflik, satu bidang yang jarang diterokai, melainkan oleh penyelidik yang memiliki pengalaman langsung dengan isu berkenaan.

Sementara itu, Majed berkata antara cabaran paling berat yang hampir mematahkan semangatnya ialah ketika bapanya meninggal dunia dalam satu siri pengeboman oleh tentera Israel dan ketika itu, beliau hampir berputus asa dan bertekad untuk pulang ke Palestin.

Majed berkata berkat sokongan berterusan ahli keluarganya di Gaza dan warga Pusat Pengajian Komunikasi, beliau memilih untuk kekal dan meneruskan perjuangan dalam bidang pendidikan.

Beliau turut menyuarakan penghargaan mendalam terhadap penyelia Dr Rani Ann Balaraman yang sentiasa memberikan dorongan, nasihat dan kata-kata semangat sepanjang perjalanan pengajiannya.

“Sepanjang proses menyiapkan kajian saya, tekanan emosi yang saya hadapi sangat hebat, terutama setiap kali saya mendengar berita tentang negara saya yang dibedil oleh tentera Israel. Fikiran saya sering melayang kepada nasib keluarga saya di tanah air.

“Pada saat-saat begitu, Dr Rani akan memanggil saya untuk berkongsi cerita dan perasaan. Sokongan beliau amat membantu saya untuk bangkit semula dan meneruskan pengajian PhD,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Dalam pada itu, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi Profesor Madya Dr Bahiyah Omar memuji kesungguhan dan semangat Majed sebagai satu bentuk iltizam yang wajar dicontohi oleh pelajar lain, memandangkan pengajian PhD bukan sahaja menuntut ketahanan fizikal tetapi juga kekuatan mental dan emosi.

“Pusat Pengajian Komunikasi USM sentiasa mengambil pendekatan proaktif dalam menyokong pelajar seperti Majed agar mereka mampu menamatkan pengajian dengan jaya dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara serta komuniti masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan