Daripada M. Saraswathi
JOHANNESBURG, 22 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tidak ada sebarang perbincangan mengenai kemungkinan Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor.
“Itu pandangan beliau (Amirudin). Dia tidak berbincang dengan saya pun,” katanya ketika diminta mengulas saranan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari supaya Nurul Izzah menggantikan tempatnya.
Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata beliau telah menyampaikan cadangan tersebut kepada Nurul Izzah dan terpulang kepadanya untuk membuat keputusan.
Mengenai kesediaan Ahli Parlimen Gombak itu menerima tanggungjawab di peringkat Persekutuan, Anwar menjawab: “Pilihan raya bila? Masih lama lagi… kita bincang kemudian.”
Perdana Menteri juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai kemungkinan rombakan Kabinet.
“Rombakan itu bagi mengisi kekosongan. Boleh cadangkan beberapa nama? Saya akan pertimbangkan,” katanya secara berseloroh ketika ditanya mengenai perkara itu selepas menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di sini.
Mengulas pandangan bahawa Amirudin bersedia menyertai pentadbiran Persekutuan, Anwar berkata: “Itu satu jawatan sahaja. Sekurang-kurangnya ada tiga kekosongan.”
Sementara itu, dalam sesi soal jawab, beliau menyambut baik cadangan supaya kerajaan menubuhkan Pusat Pengajian Afrika bagi memperluas pemahaman terhadap 54 negara di benua tersebut.
“Saya akan pertimbangkan. Cadangan yang baik,” katanya.
“Kita ada Pengajian Eropah, kita memahami sejarah Amerika, dan kita biasa dengan tamadun India, tetapi kita kurang memahami Afrika secara keseluruhan, termasuk Amerika Latin,” kata Anwar yang berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20.
Mengenai gesaan supaya lebih banyak pelaburan Malaysia dibawa ke benua Afrika, Anwar berkata komuniti perniagaan merupakan pihak terbaik untuk meneroka peluang dan membuat keputusan komersial.
“Peranan kerajaan adalah menggalakkan dan memudah cara,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar menggesa rakyat Malaysia di luar negara untuk sentiasa memberikan yang terbaik dan tidak cepat berpuas hati.
“Lakukan yang terbaik. Kita perlu menimba ilmu, tetapi bukan sekadar memperoleh atau menyerap ilmu. Kita juga mesti komited menyebarkan perkara yang benar, yang betul dan yang adil,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial