Daripada Saraswathi Muniappan
JOHANNESBURG, 22 Nov (BERNAMA) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyertai mesyuarat berkaitan Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) pada hari ketiga lawatan kerja beliau ke sini.
Agenda pertama adalah menyampaikan kenyataan Malaysia semasa Sesi 1, bertajuk “Inclusive and Sustainable Economic Growth Leaving No One Behind: Building Our Economies; the Role of Trade; Financing for Development; and the Debt Burden”. (Pertumbuhan Ekonomi Inklusif dan Mampan Tanpa Ada Yang Ketinggalan: Membina Ekonomi Kita; Peranan Perdagangan; Pembiayaan untuk Pembangunan; dan Beban Hutang”.
Selain itu, beliau juga akan menyampaikan kenyataan Malaysia dalam Sesi 2, bertajuk “A Resilient World – the G20’s Contribution: Disaster Risk Reduction; Climate Change; Just Energy Transitions; Food Systems” (Dunia yang Berdaya Tahan – Sumbangan G20: Pengurangan Risiko Bencana; Perubahan Iklim; Peralihan Tenaga yang Saksama; Sistem Makanan), pada sebelah petang.
Selepas menyampaikan ucapan beliau pada Sesi 2, Anwar akan menghadiri Majlis Makan Malam Pemimpin G20 yang dihoskan oleh Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa di NASREC Expo Centre.
Lawatan kerja Perdana Menteri selama empat hari dari 20 hingga 23 November ke Afrika Selatan adalah untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg sebagai tetamu Presiden G20, Cyril Ramaphosa.
Jemputan kepada Anwar untuk menghadiri sidang kemuncak itu, yang berlangsung dari 22 hingga 23 November, adalah atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
Anggota G20 terdiri dari Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, para pegawai kanan kerajaan Malaysia, serta delegasi perniagaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial