AM > BERITA

Tamu Kota Belud: Pasar 135 Tahun Terus Hidup Dengan Warna Dan Tradisi

22/11/2025 02:52 PM

 

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KOTA BELUD, 22 Nov (Bernama) -- Tamu Kota Belud terus mengukir nama sebagai antara pasar mingguan paling ikonik di Sabah, bukan sahaja kerana kepelbagaian barangan tradisi dan hasil kampung tetapi juga sejarahnya yang menjangkau lebih satu abad.

Diwujudkan pada 13 Dis 1878 oleh William Pretyman iaitu Residen British pertama di Tempasuk yang kini dikenali sebagai Kota Belud, tamu berusia lebih 135 tahun itu bermula di Kampung Siasai dan kekal berfungsi hingga hari ini sebagai nadi pertemuan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

Setiap hujung minggu, pasar yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Kota Kinabalu itu mempertemukan etnik Bajau, Dusun dan Iranun yang datang untuk berniaga, membeli keperluan harian atau sekadar menikmati suasana pasar tradisional yang masih mengekalkan identiti asalnya.

Tinjauan Bernama mendapati, pengunjung dari pelbagai pelosok daerah datang ke pasar itu seawal pagi bagi mengelakkan panas terik untuk mendapatkan pelbagai barangan makanan, tanaman, hasil kampung hinggalah kraf tangan yang menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat tempatan.

Di tamu itu, kepelbagaian budaya bukan sekadar difahami, malah dirai dengan bauan kuih-muih tradisi, wangi kopi kampung serta suara tawar-menawar yang mencipta satu pengalaman unik dan hanya dapat dirasai di Tamu Kota Belud.

Tamu Kota Belud juga menjadi lokasi terbaik untuk mendapatkan buah-buahan yang sukar ditemui seperti tarap, bambangan serta longan Brazil atau lebih dikenali sebagai matoa.

Bagi Samsiah Ahat, 59, yang lebih 25 tahun mencari rezeki sebagai penjual tanaman seperti pokok hutan, anak benih sayuran, bunga-bungaan serta bunga Rosella liar, tapak pasar itu kini lebih selesa dan teratur berbanding sebelum ini. 

“Jauh berbeza, dulu biasa-biasa sahaja dan sederhana, sekarang bersih dan ada bumbung. Ini semua Majlis Daerah yang buatkan,” katanya kepada Bernama.

Selain tanaman, tamu itu turut terkenal dengan barangan jarang dijumpai seperti parang tradisi, tikar mengkuang, bakul rotan dan pelbagai kraf tangan tempatan yang sering menjadi buruan pengunjung dari luar daerah.

Norhayati Jaran, 48, peniaga ikan masin yang menceburi dunia perniagaan sejak berusia 14 tahun bersama arwah ibunya di tamu itu berkata kemudahan seperti tandas dan pencahayaan yang disediakan kini sangat memudahkan urusan peniaga.

Norhayati berkata perubahan Tamu Kota Belud sangat ketara berbanding dahulu, yang berniaga di atas lantai, berlumpur, tiada lampu dan bangunan pun usang.

Beliau berkata keaslian tamu menjadi tarikan utama pelawat termasuk dari Semenanjung yang sering mencari ikan masin terutama ikan liking yang begitu dikenali khususnya sekitar daerah Kota Belud.

“Ikan masin liking adalah ikan talang yang diperam dengan garam sebelum dijemur sehingga kering dan harganya di luar boleh mencecah RM20 hingga RM80 seekor tetapi di sini masih dijual pada harga RM5 seekor.

“Tamu Kota Belud bukan sekadar tempat berniaga tetapi ruang yang menghubungkan tradisi dengan generasi baharu, membuktikan warisan tempatan dan produk budaya masih relevan dalam kehidupan masyarakat Sabah,” katanya.

Kota Belud mempunyai empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 iatu Pintasan, Tempasuk, Usukan dan Kadamaian pada 29 Nov ini. 

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan serta 12,729 anggota polis dan pasangan.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, layari portal khas Bernama di https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan