GEORGE TOWN, 22 Nov (Bernama) -- Badminton terus menunjukkan momentum program pembangunan sukan akar umbi paling kukuh di Malaysia, menyumbang 40 peratus daripada semua permohonan di bawah geran Dana Sukan Komuniti pada tahun ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata daripada 2,402 acara yang dipohon oleh negeri-negeri di seluruh Malaysia tahun ini, 905 daripadanya melibatkan acara badminton.
“Jumlah itu merangkumi 40 peratus daripada keseluruhan permohonan yang melibatkan peruntukan hanya sebanyak RM903,000 berbanding bola sepak yang menelan kos RM3.6 juta walaupun cuma mempunyai 362 acara.
“Dana Sukan Komuniti terbuka kepada mana-mana kelab, kelab belia dan kelab sukan untuk memohon kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi membolehkan mereka menganjurkan pertandingan dan program tempatan,” katanya pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-100 Persatuan Badminton Pulau Pinang (PBA) di Pusat Konvensyen Setia Setia Spice, Bayan Lepas dekat sini malam ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta lagenda badminton Datuk Seri Lee Chong Wei.
Hannah berkata kerajaan akan terus menyokong perkembangan sukan badminton di Malaysia, dengan menekankan bahawa sukan itu tidak pernah gagal menyumbang pingat di Sukan Olimpik sejak 2008.
Sementara itu, beliau turut memuji sumbangan Pulau Pinang selama satu abad terhadap badminton, termasuk pembangunan pemain legenda seperti Chong Wei, selain mengalu-alukan rancangan PBA untuk menubuhkan Akademi Badminton Malaysia Wilayah Utara bagi melengkapkan akademi sedia ada di Kuala Lumpur.
“Kita boleh bergerak ke arah projek itu, ini merupakan inisiatif yang hebat,” katanya.
Mengiktiraf pencapaian PBA yang kebanyakannya dibiayai melalui penajaan swasta, Hannah mengumumkan peruntukan RM38,000 sebagai dana permulaan untuk persatuan itu.
Legasi PBA merentasi beberapa generasi, daripada legenda Piala Thomas seperti Datuk Eddy Choong dan Datuk Tan Aik Huang sehingga ikon moden Chong Wei, yang kesemuanya membantu mengukuhkan reputasi negeri itu di pentas antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial