PADANG RENGAS, 22 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM1.12 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan pembangunan Kampung Padang Asam di sini di bawah Program Kampung Angkat MADANI, bertujuan meningkatkan kemudahan asas serta kesejahteraan penduduk setempat.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata daripada jumlah keseluruhan itu, RM820,000 disalurkan untuk pelaksanaan 10 projek infrastruktur asas, manakala RM300,000 lagi diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan di kampung berkenaan.
“Kesemua projek infrastruktur asas ini telah berjaya disiapkan, melibatkan kawasan Kampung Padang Asam, Masjid Al-Khairiyah, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Assam, dan Sekolah Rendah Agama Rakyat Kampung Padang Asam.
“Antara projek yang dilaksanakan termasuk kerja penyelenggaraan jalan, pemasangan lampu jalan berkuasa solar, tangki simpanan air telaga serta bilik mandi, menaik taraf tempat meletak kenderaan, dan lain-lain kemudahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI JKDM 2025 di Masjid Al-Khairiyah, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Pengurusan) Abu Bakar Jambol serta Pengarah JKDM Perak Mohd Nadzri Ariffin.
Anis Rizana berkata pelaksanaan projek infrastruktur asas itu tidak akan dapat direalisasikan tanpa kerjasama erat daripada Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, dan GiatMARA selaku agensi pelaksana.
“Pendekatan yang digunapakai melibatkan kerjasama rentas agensi, dinamakan sebagai ‘whole of government’, bagi memastikan setiap kampung terpilih menerima keperluan infrastruktur asas yang lengkap dan bersesuaian dengan kehendak masyarakat,” katanya.
Beliau berharap semua projek yang telah dilaksanakan dapat dinikmati dan dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial